Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Produksi teater Tanah Akhirku akui kurang peruntukan
Diterbitkan:  Aug 17, 2018 6:48 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Produksi teater Tanah Akhirku tidak menafikan mereka berdepan kesukaran kerana masih memerlukan dana tambahan bagi menampung kos selebihnya untuk ‘belayar’ di Istana Budaya pada akhir bulan ini.

Menurut penerbit, Lim Mei Fen pementasan yang bakal berlangsung itu diuji cabaran besar malah usaha daripada pihaknya untuk meraih dana sebenarnya berjalan sejak Februari lalu.

“Ramai yang menasihatkan saya supaya tidak mendedahkan masalah sebenar berkaitan kewangan kerana ia akan menjatuhkan semangat mereka yang terlibat.

“Namun saya memilih untuk berterus-terang kerana tidak mahu menipu dan berjanji,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Mei Fen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sudi tampil menghulurkan bantuan sebanyak RM150,000 untuk membantu teater di bawah arahan Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi itu.

Namun, wang berkenaan didapati masih belum mencukupi untuk menampung keseluruhan nilai pementasan yang berjumlah RM500,000.

Walaupun berdepan kesulitan, Mei Fen yang juga menggalas watak utama Tanah Akhirku mengakui dirinya tetap berdegil untuk meneruskan pementasan yang dijangka bermula pada 28 Ogos hingga 1 September ini.

Malam gala bersama Tun M, Siti Hasmah

“Saya tidak mahu melepaskan peluang yang diberikan Istana Budaya kepada generasi muda. Kisah yang ingin disampaikan pun amat bertepatan dengan senario (hari) merdeka tahun ini.

“Saya sempat bertemu aktivis teater yang juga pensyarah iaitu Rosminah Tahir dan bertanya kenapa dia tidak memarahi kegilaan saya malah sanggup mahu menolong dari segi kewangan," katanya.

Tanah Akhirku idea asal dibuat untuk melengkapkan penilaian tahun akhir Mei Fen - penuntut Ijazah Sarjana Muda Teater di Aswara - sebelum dikembangkan menjadi sebuah pementasan di Istana Budaya.

Mei Fen berharap melalui pementasan ini semangat kebersamaan dapat dipupuk daripada kalangan rakyat tanpa mengira darjat, usia atau kaum.

“Semuanya sempena perayaan Merdeka tahun 2018 bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri yang merealisasikan impian Malaysia baru,” katanya.

Tanah Akhirku mengisahkan perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari tanah besar China ke Tanah Melayu bernama Yin Feng watak dibawakan Mei Fen.

Naskhah itu turut dijayakan pelakon Aeril Zafril, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ dan Angeline Tan.

Untuk rekod, pada tarikh 28 Ogos itu juga sebuah majlis malam gala akan diadakan bagi tujuan mengutip dana dan acara itu akan dihadiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah.

Tiket malam gala boleh dibeli pada harga RM500 dan RM1000 melalui talian 016-4833786 (Miss Fong) atau 0124757728 ( Faez Malek).

Lihat Komen
ADS