Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Diana Chora tak lagi kaku lepas 'tinggalkan' Dike Ardilla

Bukan mudah untuk Diana Chora memikul tanggungjawab sebagai penghibur terutama apabila namanya dikaitkan dengan penyanyi idola remaja Indonesia suatu ketika dulu.

Justeru, Diana yang dahulunya ingin dikenali sebagai Dike Ardilla kini memilih untuk tampil sebagai 'diri sendiri' dan menggugurkan nama yang boleh menyebabkan orang menyangka dia menumpang nama Allahyarham Nike Ardilla.

Kata pemilik nama sebenar Diana Utami itu, menjadi diri sendiri adalah lebih baik, malah ia membuatkan jiwanya tidak lagi berasa terseksa mahupun terpaksa.

“Diana Chora itu lebih matang. Sejak mengubah nama, saya kini lebih mudah keluarkan idea dan bersikap lebih ikhlas dalam melakukan pekerjaan.

“Saya lebih menjiwai sesuatu, dulu kaku saja,” katanya ketika ditemui di Puat Pelancongan Malaysia di Kuala Lumpur semasa mempromosikan single berjudul Merinduimu yang berkonsep pop rock baru-baru ini.

Nama Dike Ardilla muncul enam tahun selepas kematian Nike Ardilla yang terlibat dalam kemalangan pada 19 Mac 1995.

Pemilihan nama Dike Ardilla sebenarnya dibuat pihak pengurusan terdahulu semasa dia bernaung di bawah syarikat allahyarham Deddy Dores.

Tak lupa jalur lama

Ia disebabkan karakter vokal dan penampilan penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia itu persis Nike Ardilla.

Namun, Diana Chora tidak menafikan wujud kebimbangan untuk terus-menerus berdiri di balik bayangan Nike Ardilla, kerana seboleh-bolehnya dia enggan nasib sama menimpa dirinya.

“Memang trauma juga sebab penampilan saya menyerupai Nike Ardilla malah suara pun seakan-akan dia, timbul perasaan negatif kerana takut.

“Tetapi daripada sudut positif perlu juga diambil kira, saya disamakan dengan nama artis yang besar.

“Setiap tahun saya meningkat matang, harus fikir positif setiap masa, biarkan apa yang lepas jadikan pengalaman dan berusaha mengubah masa depan untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Untuk rekod, Deddy antara individu bertanggungjawab mempopularkan album pertama Nike Ardilla, Seberkas Sinar, yang terjual hingga 500,000 unit.

Bermula 2000 hingga 2008, Diana Chora yang berhijab sejak tiga tahun lalu sudah menghasilkan empat album iaitu Salah Sendiri, Aku Harus Bagaimana, Berikan Setitik Air - yang menampilkan duet bersama Deddy - dan Serpihan Kasih.

Mengulas perkembangan karier dan hala tuju muziknya sekarang, Diana Chora berkata, dia masih lagi seorang pendendang irama rock.

Namun, Diana Chora tetapi tidak menolak sekiranya suatu hari nanti dia ingin mengubah selera asalkan tidak melupakan asal-usulnya.

“Saya tidak banyak berubah, hanya sekarang berhijab dulu tidak, tetap menjadi diri sendiri seperti yang kalian kenal dulu.

“Diana Chora harus mengikut zaman, dan saya tidak menolak kemungkinan menggambungkan rock dengan genre EDM atau yang lain. Sesuatu yang baru itu memang menarik tetapi biarlah jalur rocknya tetap ada,” katanya.

Lihat Komen
ADS