Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hantu Kak Limah 'mengganas' padam rekod Abang Long Fadil 2
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 8:28 PM
Dikemaskini: 12:38 PM

Hantu Kak Limah terus sekali lagi melakar sejarah sebagai filem melayu paling berjaya dari segi kutipan apabila memungut RM20.5 juta hasil jualan tikat dalam tempoh hanya 11 hari tayangan.

Pencapaian itu sekaligus memadam rekod filem Abang Long Fadil 2.

Sebelum ini Abang Long Fadil 2 menjadi produksi paling laris dalam sejarah perfileman Malaysia dengan kutipan RM19.04 juta selepas ditayangkan selama 28 hari.

Jumlah kutipan jualan tiket Abang Long Fadil 2 - filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw itu - merangkumi kutipan ditayang di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Hantu Kak Limah catat sejarah tangga pertama box office Malaysia, RM20.5 juta. Terima kasih Malaysia,” ciap Astro Shaw di Twitter sebentar tadi.

Ini rekod keempat dilakar filem di bawah arahan Mamat Khalid yang diterbitkan Astro Shaw dan Infinitus Gold itu sejak ia ditayangkan di pawagam bermula 9 Ogos lalu.

Terdahulu, filem dibarisi pelakon seperti Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, allahyarham Rab Khalid dan Uqasha Senrose itu mengutip RM13.6 juta untuk minggu pertama ia ditayangkan.

Pada hari pertama ia ditayangkan, filem komedi seram itu berjaya memperoleh kutipan RM1.8 juta di pawagam.

Penerbit eksekutif Hantu Kak Limah Datuk Khairul Anwar Salleh, Gayatri Su-lin dan TP Lim juga tidak ketinggalan untuk mengucapkan syukur dan terima kasih selepas menciap di Twitter.

“Kami termasuk Mamat Khalid berterima kasih buat rakyat Malaysia, Brunei, dan Singapura serta rakan media dan rakan pemamer yang sentiasa menyokong dan meletakkan filem Hantu Kak Limah di kedudukan rating tertinggi menerusi kutipan pecah panggung terbesar sepanjang zaman,” menurut satu kenyataan.


Baca Dua 'per' tentang Hantu Kak Limah


Filem berlatarbelakangkan Kampung Pisang, sebuah lokasi rekaan itu masih rancak ditayangkan di sebanyak 146 pawagam.

Ia turut membariskan pelakon-pelakon lain seperti, Mus May, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz serta penampilan istimewa Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.

Karya terbaru Mamat itu merupakan filem keempat membabitkan kisah Kampung Pisang selepas Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.

Lihat Komen
ADS