Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lagu Alasanmu versi suntingan politik sentuh jiwa Najib
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 12:40 PM
Dikemaskini: 2:31 PM

Tanpa jawatan perdana menteri bukan alasan untuk Datuk Seri Najib Razak berdiam diri, terutama apabila beliau terus menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak.

Selain kecaman dan dakwaan daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) ketua Umno Pekan itu juga sesekali ditegur secara berlapik oleh sesetengah pemimpin partinya sendiri.

Ketika Najib masih dikaitkan dengan skandal 1MDB, malam tadi beliau kelihatan agak sentimental apabila memuat naik hantaran baru dan melampirkannya dengan satu klip video muzik.

Menggunakan lagu Alasanmu persembahan kumpulan Exist, Najib berkata lirik yang digunakan bagi mengiringi irama tersebut "tepat" dengan keadaan yang dialaminya kini.

Kata Najib beliau menerima pautan video tersebut daripada seorang rakannya melalui aplikasi WhatsApp.

"Saya tidak tahu siapa yang edit video ini tetapi lirik lagu hit yang lama ini macam kena tepat sekali dengan situasi saya!" katanya di Facebook.

Melalui klip video berkenaan lagu yang asalnya bertemakan kegagalan percintaan digubah menggunakan gambar-gambar politik bagi menceritakan bagaimana beliau akhirnya diketepikan daripada kuasa.

Pada ketika tertentu, ia disesuaikan dengan gambar yang mewakili situasi dialami Najib.

Misalnya semasa Ezad - penyanyi Exist itu - melagukan kata-kata "bertentang mata seolah-olah tiada apa" penyunting video tersebut memaparkan imej Najib bersama Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hubungan kedua-dua mereka masih baik.

Apabila tiba lirik "manis di bibir memutar kata, malah kau tuduh akukah segala penyebabnya" pula penyunting memaparkan imej janji-janji yang diikrarkan Pakatan Harapan menjelang pilihan raya umum lalu.

Video itu juga disunting dengan memasukkan beberapa imej negatif yang boleh dikaitkan dengan sikap kerajaan Malaysia semasa berada di bawah pentadbiran Dr Mahathir antara 1982 hingga 2002 lalu.

Antaranya ialah tindakan polis ke atas penunjuk perasaan proreformasi serta kejadian pertumpahan darah di Memali, Kedah.

"Terima kasih kepada individu yang edit video ini," kata Najib di akhir hantarannya itu.

Lihat Komen
ADS