Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Amy Search kecam Aliff Syukri sengaja cari publisiti
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 6:36 PM
Dikemaskini: 2:30 PM

Selepas dikecam Datuk Aliff Syukri Kamarzaman meminta maaf secara terbuka kerana memuat naik klip video tariannya yang dianggap melampau semasa mempromosi lagu baru Bobo Di Mana.

Menurut pengusaha produk kosmetik itu perkongsian berkenaan sebenarnya dibuat atas tuntutan kerja kerana termaktub dalam kontrak dipersetujui sebelum ini.

Justeru kata Aliff Syukri dia tidak mempunyai banyak pilihan kecuali mematuhi kehendak kontrak berkenaan dan meminta maaf serta mengakui tersilap.

Namun bukan semua orang sanggup menerima permohonan maaf Alif Syukri begitu saja.

Vokalis kumpulan Search, Amy, misalnya berpendapat Aliff Syukri sepatutnya ada cara lain namun sengaja memilih kaedah tersebut supaya orang bercakap mengenainya.

Kata Amy lebih mendukacitakan ia berlaku ketika umat Islam di seluruh dunia berdoa sempena jemaah haji yang melakukan wukuf di Padang Arafah semalam.

“Maaf Dato sedangkan umat Islam seluruh memanjatkan doa tapi Dato memanjatkan video promo berunsur lucah sambil ketawa melekek-lekek tengok orang tu lambung tetek.

“Amat tidak sopan," kata Amy meninggalkan komennya di bawah hantaran permohonan maaf Aliff Syukri hari ini.

Nampak macam suka

Semalam Malaysiakini menyiarkan pandangan personaliti televisyen Wardina Safiyyah yang menempelak Aliff dan dua lagi selebriti yang dikatakan transgender iaitu Nur Sajat dan Lucinta Luna.

Aksi mereka itu dianggap melampau kerana menari sehingga menyebabkan buah dada Lucinta bergoyang-goyang dengan ketara.

Kata pelakon Spanar Jaya itu perbuatan terbabit dianggap terlalu melampau, bodoh dan meloyakan.

Justeru Wardina menggesa video berkenaan segera dipadam.

Semakan Malaysiakini hari ini pula mendapati video itu sudah diturunkan dari media sosial Aliff.

Kata Amy isu tuntutan kerja tidak berbangkit kerana Aliff Syukri memiliki wang yang banyak, justeru mempunyai kuasa tawar-menawar untuk menolak kehendak pihak yang menawarkan kontrak trsebut.

Namun kata penyanyi Gothik Malam Edan itu, Aliff Syukri sebaliknya kelihatan mahu ia diadakan malah menyukainya.

“Dan kamu mahu semua orang bercakap mengenainya (sebab) semakin ramai orang bercakap, semakin banyak faedah. Itulah permainannya” kata Amy yang mengakhiri komennya dengan memohon maaf.

Aliff pula dalam kenyataan maafnya berkata dia akan menghargai teguran masyarakat selagi ia dibuat mengikut budaya dan menggunakan pendekatan yang sopan.


Baca Aliff Syukri Terlajak Laris dah 'serik' bergedik


“Sewaktu ditawarkan (pekerjaan) saya gembira kerana saya ingin dikenali di Indonesia.

"Saya amat hargai teguran semua orang walau siapa pun selagi tidak ada kata-kata kesat dan maki hamun. Insya-Allah saya terima. Izinkan saya lunaskan kerja-kerja saya.

“Sebenarnya dalam klip promo lirik video dan teaser tu ada lebih dari 15 orang yang terlibat dan saya tidak memegang mereka langsung.

“Produksi Indonesia juga memperuntukkan 2miliar rupiah untuk muzik video penuh di mana semua konsep daripada mereka... dan saya sebagai bakat artis dari label Indonesia hanya mengikut sahaja.

“Kepada semua harap memahami saya juga dan jangan memberi tekanan kepada isteri saya sebab ia mengundang masalah yang lebih berat.

"Dalam perkara ini saya ada beberapa tuntutan kerja yang saya perlu lunaskan untuk lagu ni... yang diurus oleh pengurus saya di Indonesia @didi_3kingkong,” katanya.

Lihat Komen
ADS