Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penaja hadiah GV4 janji isu kelewatan diatasi segera
Diterbitkan:  Aug 28, 2018 10:19 AM
Dikemaskini: 3:03 AM

Menerima rungutan daripada penyanyi terkenal dan mula heboh, penaja tanah lot banglo yang didakwa masih gagal melunaskan janjinya kepada pemenang Gegar Vaganza musim keempat (GV4) tampil membuat penjelasan.

Menurut Bina Megah Empire syarikat terbabit tidak berniat mahu menipu sesiapa malah kini dalam proses menyelesaikan serahan hadiah kepada tiga pemenang teratas GV4.

Pemilik syarikat itu Datuk Seri Mohd Amir Mohd Esa berkata sebagai seorang artis dia memang amat memahami situasi dialami pemenang GV4 berkenaan.

Malah katanya dia mengambil sepenuh tanggungjawab untuk menyegerakan urusan penyerahan tanah lot banglo berkenaan.

“Proses penyerahan lot tanah itu lambat kerana syarikat kami iaitu Bina Megah Empire menghadapi sedikit masalah dalaman antara lembaga pengarah dan itulah yang menyulitkan keadaan.

“Saya tak ada niat nak menipu mereka dan masalah kelewatan ini akan diselesaikan secepat mungkin.

“Saya berjanji akan bertanggungjawab terhadap kes ini dan akan memastikan hadiah tersebut sampai ke tangan pemenang,” kata vokalis kumpulan Pearl seperti dipetik mStar Online hari ini.

Mereka memang berhak

Aishah yang juga Juara GV4 pada Sabtu lalu mendedahkan hadiah tapak lot banglo yang dijanjikan untuknya belum diperolehi walaupun pertandingan berkenaan berakhir sudah hampir setahun.

Dalam luahannya, Aishah menyatakan dia memang sudah lama mengimpikan untuk membina sebuah kediaman yang bersesuaian dengan dirinya yang mempunyai masalah kaki.

Untuk rekod, selain tanah tapak lot banglo, Aishah turut meluahkan kekecewaannya dengan mendakwa barang kemas tajaan bernilai RM80,000 didapati palsu.

Semalam Malaysiakini menyiarkan cadangan penyanyi Janji Manismu itu supaya kerajaan mengambil inisiatif mengkaji peraturan mengenai tawaran hadiah kepada artis yang menyertai sesuatu pertandingan bagi mengelak mereka ditipu.

Selain Aishah, pemenang tempat kedua, Liza Hanim dan Lan Solo (ketiga), juga belum menerima hadiah yang diuar-uarkan penaja berkenaan.

Bagaimanapun, hadiah lain iringan sumbangan pihak Astro dan penaja lain sudah diterima.

Amir yang popular dengan lagu Aku Tak Bersalah diterbitkan pada 1996 itu memaklumkan pihaknya ada berkomunikasi dengan ketiga-tiga pemenang hadiah utama berkenaan.

Dia juga menyatakan sudah menjelaskan mengenai kelewatan tersebut.

“Saya ada hubungi Aishah, Liza Hanim dan Lan, mereka sudah dimaklumkan mengenai kelewatan ini dan komunikasi kami baik-baik sahaja.

“Namun, isu ini sudah viral dan saya tak salahkan Aishah dalam hal ini kerana memang mereka berhak menuntut hadiah tersebut.

“Insya-Allah, saya akan bertemu serta duduk semeja dengan ketiga-tiganya dan mungkin akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar,” katanya (gambar bawah).

Mengakui dirinya tersilap membuat percaturan bagi menyempurnakan janji yang sepatutnya ditunaikan, Amir memohon maaf kepada ketiga-tiga bekas peserta GV4.

“Saya minta maaf atas kelewatan pemberian hadiah ini, mereka merupakan rakan industri dan saya ini dikenali ramai. Apabila timbul isu ini, jadi tak sedap pula,” katanya.

Sementara itu, Amir berkata, dia juga menjadi penaja hadiah serupa untuk pemenang GV musim ketiga iaitu Azharina, Siti Sarah dan Zarul Husin.

“Mereka sudah menerima hadiah tersebut, cuma kali ini lambat sedikit atas sebab-sebab yang saya nyatakan itu," katanya yang tidak keberatan untuk menaja hadiah yang sama dalam program hiburan lain selepas ini.

Sementara itu, Zarul mengesahkan dia sudah menerima hadiah sebidang tanah lot seperti dijanjikan Amir di Ijok, Selangor.

Lihat Komen
ADS