Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kalau takut orang akan automatik ingat tuhan'

Jika kebiasaannya seseorang pelakon berusaha gigih untuk menyampaikan mesej kepada penonton filem situasi berbeza pula berlaku pada Fauzi Nawawi.

Menurut aktor itu, sebelum Munafik 2 menemui penonton dia sendiri melalui banyak pengalaman yang menimbulkan keinsafan sewaktu menjayakan penggambaran filem berkenaan.

Katanya kebanyakan penggambaran dilakukan pada waktu malam.

Misalnya kata Fauzi ketika mereka berada di Gua Kota Gelanggi di Jerantut, Pahang, ia adalah antara detik paling menakutkan sepanjang tempoh penggambaran Munafik 2.

"Jika kamu berada di situ, kamu akan insaf. Dan manusia ni, apabila takut, secara automatik kita akan ingat Tuhan,” katanya ketika ditemui pada sesi pratonton Munafik 2 di The Curve, Mutiara Damansara malam tadi.

Mendukung watak sebagai Umar, Fauzi, 45, berkongsi lanjut mengenai cabaran perlu didepaninya.

Selain perlu mengawal perasaan dia juga dikenakan 'peraturan ketat' iaitu tidak dibenarkan membuang air di sekitar kawasan gua berkenaan.

Hati tak yakin

Dan cuba bayangkan, katanya, penggambaran pula berlangsung sehingga 26 jam.

Jika terdesak sangat, katanya, pelakon atau kru terpaksa 'menapak' sejauh hingga 800 meter untuk sampai ke tandas yang paling dekat.

“Kami tidak dibenarkan langsung membuang air di kawasan gua itu kerana dikatakan keras dan menjadi tempat persinggahan makhluk halus,” katanya yang berasakan tahap keseraman filem sarat perisian agama itu bakal membuatkan penonton tidak akan senang duduk lama.

Munafik 2 memaparkan kisah seram yang mempunyai kesinambungan daripada Munafik yang ditayangkan dua tahun lalu.

Ia berkisah kehidupan Ustaz Adam - watak lakonan Syamsul Yusof - menggalas tanggungjawab menegakkan Islam dan tidak gentar menentang ajaran sesat Abuja (Nasir Bilal Khan).

Ustaz Adam juga perlu berdepan kekejaman salah seorang pengikut setia Abuja iaitu Umar. Filem arahan sendiri oleh Syamsul itu dijangka menemui penonton di pawagam Khamis ini.

Munafik 2 yang disiapkan dengan dengan belanja RM2.9 juta itu turut diserikan dengan kemunculan seperti Maya Karin, Weni Panca dan Mawi, selain pelakon Munafik yang dikekalkan, seperti Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali serta Ku Faridah.

Menganggap kisah dihidangkan dalam Munafik 2 agak sensitif kerana menyentuh isu akidah, Fauzi mengaku pada awalnya dia agak keberatan untuk menerima tawaran menjayakan watak Umar.

Justeru, suami aktres Lisdawati itu mendapatkan pandangan daripada insan yang paling dekat dengannya dan sering menjadi tempat rujukan sejak kecil iaitu, ibunya, Siti Aminah Chin, 70.

“Saya bimbang apabila ditonton, masyarakat akan tersalah tafisr, akan salah cakap atau terpesong akidah orang yang menonton.

"Isu itu juga mungkin boleh berlaku kepada pelakon, tapi mak kata, selagi tidak menyalahi agama, buatlah untuk mencari rezeki.

"Mak saya kuat pendidikan agamanya, dia juga individu yang mengajar kami sekeluarga mengaji al-Quran," katanya.

Menurut Fauzi lagi ibunya juga menasihati agar dia melakukan solat istikharah bagi mendapatkan petunjuk.

Dan itulah yang dilakukannya.

"Hanya selepas itu saya yakin dan menerima tawaran berkenaan," katanya.

Lihat Komen
ADS