Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) menuntut peraturan terhadap pemuzik jalanan disemak semula.

Gesaan itu dibuat susulan insiden rampasan alat muzik pemuzik kurang upaya (OKU) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, yang tular baru-baru ini.

“Bagi pihak SBM, kami berpendapat bahawa tindakan keras yang membawa kepada rampasan peralatan ini tidak sepatutnya berlaku terhadap OKU yang bekerja untuk mencari makan demi menyara diri dan isi rumah.

“Dikatakan bahawa amaran telah diberikan kerana kumpulan busker ini telah melanggar peraturan sebagaimana yang ditetapkan.

“Di sini juga, SBM ingin menyarankan agar DBKL dan semua pihak yang berkenaan seharusnya bersama-sama untuk menyemak peraturan ini yang mungkin tidak adil atau munasabah,” kata presidennya Mohammed Nazari Othman.

DBKL pada 20 Ogos lalu dilaporkan berkata penggunaan drum dan alat siar raya oleh ‘buskers’ sekitar ibu negara dilarang berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasa DBKL Osman Ismail berkata larangan itu telah dimaklumkan melalui notis peringatan awal bulan ini kepada kumpulan pemuzik berdaftar dan memiliki permit untuk dipatuhi.

Dalam video itu, kelihatan seorang pegawai berkata rampasan dibuat kerana drum tidak dibenarkan digunakan untuk persembahan jalanan.

Individu itu juga menjelaskan beliau tiada masalah dengan penggunaan alat muzik lain seperti gitar.

Dalam kenyataan hari ini, SBM berkata, DBKL perlu memberikan penerangan dari semasa ke semasa, bukan sekadar membuat peraturan dan dikuatkuasakan tanpa diketahui.

“ Justeru, pegawai penguatkuasa juga patut diberi latihan tentang advokasi dan profesional dalam menangani isu OKU, bukan secara keras atau beremosi,” kata Mohammed Nazari.