Seni lukisan mampu menyatukan rakyat dalam menzahirkan rasa cinta kepada negara, kata isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau berkata ini kerana hasil kreatif yang dicipta seseorang pelukis mampu dihayati dan ditafsir sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan warna kulit.

"Seni lukisan boleh menyatukan rakyat kerana melalui lukisan seseorang itu boleh meluahkan perasaan mereka sama seperti alunan muzik.

"Jika ada kedua-duanya (lukisan dan muzik), anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada seseorang,” katanya ketika merasmikan pameran Teh Tarik With The Flag di Balai Seni Negara di Kuala Lumpur hari ini.

Pameran yang dianjurkan badan itu dengan kerjasama Wei Ling Gallery diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 dan berlangsung selama sebulan mulai hari ini.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata pameran itu menampilkan hasil seni 13 pelukis tempatan yang mengangkat Jalur Gemilang sebagai lambang menyatakan semangat patriotik kepada negara.

“Pameran ini daripada rakyat dan reaksi rakyat terhadap bendera kita yang melambangkan identiti negara di samping menampilkan budaya-budaya yang digemari rakyat.

“Karya dipamerkan juga menyatakan gambaran, luahan dan ramalan pelukis mengenai negara yang dicintainya,” katanya.

Pameran tersebut dibuka kepada orang ramai setiap hari bermula 10 pagi hingga 6 petang.

- Bernama