Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Biarpun bertongkat, pelakon dan penerbit filem Bront Palarae terpaksa menerima hakikat dia tidak boleh berlama-lama duduk diam atau berehat.

Puncanya, Bront terikat dengan tuntutan kerja bagi menyiapkan penggambaran drama bersiri The Bridge.

Katanya dia cuma boleh berehat selama lima hari sebelum kembali beraksi untuk penggambaran berkenaan yang berbaki 25 peratus untuk disiapkan.

Malah kata Bront, kecederaan dialaminya itu juga berpunca daripada aksi yang dipamerkannya semasa penggambaran drama bersiri tersebut.

Kata Bront, 38, kecederaan itu dialami sewaktu dia menjalani penggambaran The Bridge di Johor Bahru semalam.

"Ketika itu saya sedang melakonkan babak berlari dari kapal ke bumbung bangunan.

"Tiba-tiba saya rasa sakit dan kemudian kaki kiri mengalami kekejangan," katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton filem One Two Jaga di Bandar Utama, Petaling Jaya hari ini.

Kena lakukan fisioterapi

Bront tiba di lokasi tayangan itu dengan berkerusi roda, dan terpaksa dibantu tongkat untuk berjalan.

Pada awalnya kata Bront dia tidak mempedulikan sangat kesakitan yang dirasainya pada betis kanan itu dan menganggap tiada yang perlu dibimbangkan.

Namun kata penerbit dan pelakon One Two Jaga itu, selepas menjalani pemeriksaan di sebuah pusat perubatan, dia dinasihatkan untuk berehat selama dua minggu di rumah.

"Selepas melakukan proses MRI (pengimejan gema magnetik) doktor memberitahu ada tisu betis saya koyak dan mengalami darah beku.

"Sepatutnya saya boleh berjalan seperti biasa selepas menjalani fisioterapi yang dijadualkan," katanya.

Bront yang baru-baru ini berlakon untuk filem Pengabdi Setan berkata kecederaan itu adalah yang paling teruk pernah dialami sejak bergelar pelakon lebih sedekad lalu.

Katanya, kejadian itu memang menjejaskan jadual hariannya sebagai pelakon The Bridge, tambahan pula dia perlu beraksi lasak.

One Two Jaga ialah filem mengenai dua anggota polis, Hassan (lakonan Rosdeen Suboh) dan Hussein (Zahiril Adzim) yang cuba menegakkan prinsip masing-masing dalam melaksanakan tugas.

Bagaimanapun Hussein berdepan cabaran kerana kejujuran yang cuba dipertahankan itu dihalang oleh Hassan yang lebih senior.

Tugas mereka semakin diuji apabila bertembung dengan warga Indonesia, Sugiman (Ario Bayu) yang bekerja sebagai buruh dan adiknya Sumiati (Asmara Abigail).

Filem yang bakal menjengah pawagam 6 September itu turut dibarisi antaranya pelakon seperti Timothy Castillo, Amerul Affendi, Iedil Putra dan Chew Kin Wah.

Untuk rekod filem yang menelan kos RM2 juta itu sudah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa seperti di New York, Itali dan China.

Lihat Komen
ADS