Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Faham PRU ke-14, fahamlah kisah Rise Ini Kalilah

Meskipun wataknya tidak dizahirkan secara jelas sebagai anggota polis yang korup, Remy Ishak yakin hampir majoriti orang yang celik politik dapat memahami bagaimana situasi sebenar perlu didepani menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Diberi peranan sebagai anggota pasukan keselamatan yang hidup terdesak, Remy boleh memahami jika terdapat penonton kurang jelas apakah mesej yang cuba disampaikan melalui filem Rise Ini Kalilah.

Justeru Remy ada pesanan tersendiri buat penonton yang mungkin tidak boleh ‘menghadam’ maksud tersirat dan tersurat cuba disampaikan melalui karya diinspirasikan sempena PRU ke-14 itu.

“Penonton kena fahamkan diri sendiri kalau sudah tonton tapi masih tak boleh faham apa yang nak disampaikan,” katanya.

Remy, 36, ditemui pada tayangan perdana Rise Ini Kalilah di Bandar Utama, Petaling Jaya malam tadi.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syes Abdul Rahman, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fazil dan aktivis sosial Datuk Marina Mahathir serta Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran.

Untuk rekod, watak dibawa Remy - sebagai seorang anggota polis - tidak ditunjukkan secara terang-terangan menerima rasuah.

Lencana dan reben dikenakan pada pakaian seragam Remy juga dikaburkan atas sebab-sebab tertentu.

Pemilik nama asal Mohammad Zalimei Ishak itu membawa watak sebagai Azman, seorang anggota keselamatan yang bersifat lurus dan berfikiran sempit.

Kasih sayang demi negara

Mengharap pada kehidupan lebih baik buat keluarganya, Azman dihimpit dilema sama ada menerima dan membiarkan amalan rasuah berlaku sewaktu menjalankan tugas atau melawannya.

Ditanya keterbukannya untuk menerima kecaman ekoran membawa watak itu, Remy berkata, dia sudah bersedia menerima apa jua respon daripada penonton.

“Kalau orang nak kecam, nak kutuk, saya akan terima dengan fikiran positif.

"Saya tidak buat benda salah pun, kisah teladan seperti ini biasa dikaitkan dalam kehidupan.

“Apabila terdesak, manusia biasanya tak ada pilihan untuk jalan keluar. Tetapi akhirnya semua akan bersetuju apabila berdepan situasi seperti itu ia akan menjadi satu pengajaran," katanya.

Rise Ini Kalilah mengetengahkan kehidupan enam individu - termasuk Azman - dengan plot cerita berlainan tetapi saling berkait dengan tarikh bersejarah 9 Mei. Ia berkongsi matlamat dan kasih sayang terhadap negara.

Selain Remy, turut menjayakan Rise Ini Kalilah adalah Sangeeta Krishnasamy, Mira Filzah, Yana Samsudin, Jack Tan, Mark O'dea, Mustaqim Bahadon, dan Sharifah Sakinah.

Filem terbitan WebTVAsia itu diarahkan oleh Nik Amir Mustapha, Saw Teong Hin dan Prem Nath. Ia bakal menjengah pawagam mulai 13 September ini.

Lihat Komen
ADS