Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Aishah mendedahkan dia pernah diberi peringatan bahawa bakal kehilangan suara sekiranya berdegil dan meneruskan cara nyanyian yang boleh merosakkan peti suaranya.

Kata penyanyi itu, amaran itu disampaikan kepadanya ketika dia menyertai kelas latihan vokal dengan seorang guru muzik suatu ketika dulu.

“Kata cikgu itu, kalau teruskan cara menyanyi yang biasa diamalkan, saya takkan boleh menyanyi lagi selepas 10 tahun. Suara akan hilang.

"Dia ajar semua lagu kena menyanyi dengan menggunakan kaedah soprano,” katanya yang ditemui pada sesi promosi single berjudul Malar di Brickfields, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun, kebimbangan pemilik nama sebenar Wan Aishah Wan Ariffin itu ditenangkan melalui pendapat kedua - daripada seorang guru vokal berlainan.

Kata Aishah kaedah nyanyian sebenarnya bergantung kepada kemampuan vokal dimiliki seseorang.

“Cikgu yang kedua tu pula kata, ada orang dilahirkan dengan bakat tetapi ada orang kena belajar sebelum boleh menyanyi.

"Kita kena tahu batasan kita, itu saja,” katanya.

Aishah mengejutkan ramai dengan kualiti vokal dimiliki apabila selepas membuat kemunculan semula selepas beberapa tahun menyepi dengan menyertai - dan menjuarai - Gegar Vaganza 4.

Dikurniakan vokal kekal mantap biarpun sudah bergelumang dalam bidang seni suara selama 30 tahun, pasti ramai tertanya-tanya apakah rahsia disimpan Aishah.

Semua kena ikhlas

Penyanyi Janji Manismu itu mendedahkan dia sebenarnya tidak pernah mengamalkan sebarang petua sepanjang tempoh bergelar penghibur.

Menurut Aishah, 53, dia bukanlah seorang yang terlalu memanjakan diri dalam bab-bab menjaga kesihatan dan suara.

“Saya hanya mengambil berat hal-hal umum saja, tetapi kalau besok ada persembahan, misalnya, saya pastikan tidak makan makanan pedas atau panas seperti durian.

“Kalau dah memang sakit tekak, pastikan cepat-cepat makan vitamin C atau buah oren, tetapi bukan yang cucuk punya ya," katanya.

Menyedari ada pelbagai risiko dan kemungkinan untuknya di masa depan, Aishah secara bersahaja menyatakan harapannya.

“Saya harap cepat-cepatlah muncul pihak yang tawarkan peluang kepada saya buat konsert sebelum apa-apa terjadi pada suara ini,” katanya berseloroh.

Meskipun tidak mengamalkan sebarang petua, Aishah masih berpegang kepada prinsip ikhlas semasa membuat apa saja tugasan.

Untuk meneruskan kelangsungan karier dalam bidang nyanyian kata Aishah, seorang itu harus memasang niat yang bermanfaat terlebih dahulu.

“Nak menyanyi, kena pastikan adakah ia sebab glamor atau minat. Kalau boleh semua perlu seimbang.

"Paling penting perlu ada keinginan untuk membaiki ekonomi sendiri dan lakukan pekerjaan itu ikhlas demi peminat,” katanya.

Sementara itu, mengulas single Malar, Aishah berkata, karya dicipta penyanyi dan komposer Hazami itu menyampaikan mesej mengenai hubungan berterusan sesama manusia dan Pencipta.

“Ini single terbaru selepas lapan tahun saya tiada lagu baru. Kali terakhir saya merakam lagu berjudul Anak.

“Anak ditempatkan dalam album himpunan doa dan zikir, diterbitkan pada 2010,” katanya yang dijangka merakam video muzik lagu berkonsep balada itu dalam tempoh dua hari lagi.

Lihat Komen
ADS