Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Tanpa nilai seni budaya tersendiri, tidak ada negara boleh mengaku sudah menjadi sebuah negara bertamadun, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, melalui seni itulah ketinggian sesebuah negara diukur nilai ketamadunnya.

“Walaupun kita berhasrat untuk mencapai Wawasan 2020, berpendapatan sehingga beribu-ribu dolar tetapi tanpa seni tersendiri kita tidak boleh mendakwa kita sudah bertamadun,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-60 Balai Seni Negara malam ini.

Hadir bersama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi, serta tetamu kehormat dalam dan luar negara serta pemain industri seni dan pelancongan.

Perdana Menteri berkata, nilai ketamadunan dapat dipertingkat dengan menambah baik seni dalam komuniti atau sesuatu kaum dan bangsa.

Kata beliau, kepelbagaian kaum di Malaysia misalnya membuatkan negara ini mempunyai kesenian yang lebih unik berbanding negara lain.

“Sebab itu dalam satu tamadun kita perlu tingkatkan prestasi dan tahap seni dalam masyarakat kita. Malaysia ini bertuah kerana kita mempunyai penduduk berbilang suku kaum, masing-masing mempunyai kesenian mereka tersendiri

“Dengan itu kita dapat lihat seni melalui bukan saja satu tetapi tiga kaum besar dan suku kaum lain termasuk orang asli di Malaysia.

“Orang asli dapat lihat kecantikan alam, bahkan mereka dapat lihat apa berlaku dalam mimpi dan tunjuk kepada kita dengan ukiran tertentu,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata seni adalah satu cara bagi memperlihatkan kecantikan alam sekeliling.

Kata beliau, dengan adanya para pelukis misalnya, masyarakat akan lebih menghargai dan mudah menghayati seni.

“Ahli seni terutama para pelukis dapat melihat betapa cantik alam sekeliling kerana mereka nampak sesuatu itu lebih cantik daripada mata kita,” katanya.

Sementara itu Mohamaddin berkata, Balai Seni Negara menjadi antara lokasi tarikan pelancong, tempat itu dikunjungi lebih 737,000 pelawat dari dalam dan luar negara sejak 2015 hingga Jun lalu.

“Hasil jualan karya terdapat di Balai Seni Negara mencecah lebih RM38 juta dalam tempoh sama,” katanya.

Lihat Komen
ADS