Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Rise Ini Kalilah, Mira Filzah, menafikan filem itu cuba mengambil kesempatan daripada senario berlaku sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berlangsung pada 9 Mei lalu.

Sebaliknya, kata Mira, Rise Ini Kalilah cuma menjadikan perkembangan yang berlaku sebelum, semasa dan selepas PRU14 sebagai inspirasi sehinggalah terhasilnya filem berkenaan.

“Ia dibuat berdasarkan kejadian paling baru berlaku di Malaysia dan kita abadikan dalam sebuah filem untuk tontonan umum,” katanya mengenai Rise Ini Kalilah yang mendapat sentuhan tiga sutradara iaitu Nik Amir Mustapha, Saw Teong Hin dan Prem Nath.

Mira, 25, ditemui pada malam tayangan perdana Rise Ini Kalilah di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Untuk rekod, Rise Ini Kalilah adalah filem kedua dilakonkan pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman itu, tetapi ia yang pertama dijangka menemui penonton pada 13 September ini.

Mira yang mula popular melalui drama bersiri Cinta Si Wedding Planner itu terlebih dahulu menerima dan menjayakan filem Sangkar arahan Kabir Bhatia namun ia dijangka hanya menjengah pawagam Mei tahun depan.

Memegang watak sebagai Fizah - seorang penuntut di sebuah universiti di London - dia berdepan dilema sama ada mahu pulang ke tanah air untuk meraikan perkahwinan kakaknya ataupun menerima pelawaan bekerja di sebuah syarikat.

Lama-lama ambil tahu jua

Fizah juga jadi tidak keruan apabila rakan-rakan di London meminta bantuan untuk membawa kertas undi bersama-samanya sekiranya dia pulang ke tanah air, sebelum pusat mengundi di seluruh Malaysia tutup jam 5 petang.

Fizah keberatan berbuat demikian kerana dia sendiri tidak berdaftar sebagai pengundi, selain merupakan rakyat yang bersikap sambil lewa terhadap perkembangan isu seputar dalam negara.

Perkembangan itu memang benar-benar berlaku ketika negara ini melaksanakan PRU14. Ketika itu ramai pengundi pos yang menetap di luar negara menerima kertas undi lewat dan berdepan risiko undi mereka tidak dikira.

Rise Ini Kalilah secara umum menceritakan kisah kesungguhan rakyat Malaysia membawa perubahan.

Selain Mira, Rise Ini Kalilah turut dijayakan pelakon seperti Remy Ishak, Sangeeta Krishnasamy, Yana Samsudin, Jack Tan, Mark O'dea, Mustaqim Bahadon, dan Sharifah Sakinah.

Sementara itu, mengulas mengenai wataknya, Mira berkata, dia pernah tidak peduli hal ehwal dalam negara, namun sikap itu berubah beransur-ansur selepas dia mula mencari rezeki sendiri.

“Apabila umur seseorang meningkat dia akan ambil tahu juga perkembangan semasa, khususnya apabila mereka sudah berkahwin, mempunyai anak dan kena bayar macam-macam keperluan termasuk cukai.

“Macam Mira pula, sebelum ini tidak gemar mengikuti perkembangan politik tetapi lepas habis belajar dan masuk dunia pekerjaan baru mulai sedar betapa penting untuk mengambil tahu perkara itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS