Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Simbol seks 70-an Burt Reynolds meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 7, 2018 12:41 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Pelakon Burt Reynolds, yang terkenal sebagai simbol seks, dan popular menerusi filem Deliverance, The Longest Yard dan Smokey and the Brandit menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 82 tahun.

Pengurusnya Erik Kritzer mengesahkan, Reynolds yang sepatutnya muncul tahun depan dalam filem terbaru Quentin Tarantino meninggal dunia di hospital berdekatan kediamannya di Florida Selatan.

Rakaman audio menunjukkan polis sebelum itu menerima panggilan dibuat penjaga Reynolds yang mengadu pelakon itu mengalami kesukaran bernafas dan sakit dada.

Reynolds kemudian disahkan meninggal dunia di hospital.

Anak saudara perempuan Reynolds, Nancy Lee Hess turut berkongsi perasaan dukacitanya terhadap pemergian pak ciknya itu.

“Dengan hati yang sedih, saya ucapkan selamat tinggal kepada pak cik saya hari ini,” katanya seperti dipetik Reuters.

Walaupun maklum dengan sejarah perubatan dialami pak ciknya - yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 2010 - Nancy tetap menyifatkan kematian itu sebagai sesuatu yang “tidak dijangka.”

“Pak cik saya bukan saja seorang ikon filem, beliau seorang dermawan, penuh semangat, seorang lelaki sensitif yang mendedikasikan dirinya buat keluarga, rakan-rakan, peminat dan pelajar kelas lakonannya,” kata Nancy.

Pada kemuncak kerjayanya beliau menjadi antara aktor rebutan dalam industri perfileman dengan sejumlah filem pecah panggung sehinggalah popularitinya menurun pada pertengahan 1980-an.

Namun beliau kembali dalam industri hiburan pada 1997 selepas menerima pencalonan Oscar melalui watak pembantu sebagai pengarah filem lucah dalam filem Boogie Nights, Paul Thomas Anderson.

Reynolds juga memenangi anugerah Emmy kerana memegang watak dalam drama bersiri yang disiarkan pada 1990 hingga 1994, Evening Shade.

Terkenal dengan kumis, kelihatan lasak dan memiliki aura macho tersendiri, tidak hairanlah jika Reynolds menjadi lelaki simbol seks paling terkemuka era 1970-an.

Beliau popular dengan aksi telanjang dan berbaring di atas permaidani yang diperbuat daripada kulit beruang pada muka tengah majalah wanita Comspolitan keluaran 1972.

Lihat Komen
ADS