Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Filem One Two Jaga arahan Namron wajib diberi pujian atas keberaniannya berkisarkan tentang kisah di sebalik tabir pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia.

Ia memaparkan kebenaran di negara ini melibatkan segelintir anggota yang sanggup mengkhianati amanah dengan mengambil rasuah dan terjebak dalam kegiatan jenayah.

Filem ini juga boleh menembusi pasaran antarabangsa dan merupakan sebuah filem drama aksi jenayah Malaysia jika melepasi saingan filem-filem yang setanding Asean.

Saya harap Namron tidak berputus asa mengeluarkan filem melibatkan pihak berkuasa yang tidak amanah, tetapi termasuk golongan ahli-ahli politik yang menyalahgunakan kuasa pada masa akan datang dan ia harus tidak berpihak pada mana-mana parti politik.

Cuma mungkin beliau berada dalam emosi atau berseloroh apabila mengeluarkan kenyataan "lepas ini saya buat filem lucah, mungkin itu rakyat mahu" di hadapan wartawan.

Berikan masa untuk masyarakat Malaysia menerima kehadiran filem yang terbuka terutama dalam kisah rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa politik di waktu akan datang pada keseluruhannya.

Masyarakat mempunyai pelbagai kehendak yang harus kita memahami jiwa atau selera mereka.

Saya harap saudara Namron terus berkarya dengan idea tersebut mendedahkan kepincangan melalui filem.

Bukan filem puji pemerintah

Kita tidak mahu sebuah filem yang sentiasa memuji pemerintah walaupun kita tahu pemerintah itu menyalahgunakan kuasa.

Kita perlukan seorang pengarah filem seperti Namron yang beridea baru dalam mengeluarkan filem bertaraf antarabangsa seperti filem-filem India yang berani mengetengahkan kepincangan kerajaan, yang mampu mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat termasuk pemerintah.

Filem One Two Jaga dengan barisan pelakonnya Zahiril Adzim, Amerul Affendi, Chew Kin Wah, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Asmara Abigail, Bront Palarae dan lain-lain telah membawa satu pembaharuan dalam kesenian filem negara.

Kemungkinan saya akan berjumpa dengan saudara Namron sendiri dalam waktu terdekat bagi memberikan semangat dan berkongsi idea-idea baru bersama.


SULAIMAN IBRAHIM atau lebih dikenali Leman Raja Lawak merupakan seorang pelawak tanah air.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS