Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
UTP tekad harumkan nama Malaysia di Korea Selatan

Melangkah dengan satu misi besar untuk Malaysia, kumpulan Seni Persembahan Universiti Teknologi Petronas (UPAG) bertanding dengan 16 kumpulan dari negara lain di Festival Tarian Dunia Cheonan di Bandar Cheonan, Korea Selatan yang berlangsung hari ini.

Ketua Kumpulan UPAG, Toh Jian Heng berkata perwakilan disertai seramai 32 pelajar itu berazam untuk merebut hadiah Grand Champion bernilai AS$10,000 (RM41,500) pada festival berkenaan yang diadakan selama lima hari berturut-turut.

“Doakan kejayaan kumpulan Seni Persembahan UTP dan kumpulan Gamelan Sanggar Kirana, mewakili Malaysia di Festival Tarian Dunia Cheonan 2018,” katanya melalui Facebook.

Menurut Toh, ini adalah penyertaan UPAG yang kelima di Cheonan, dan menerusi penyertaan terdahulu, kumpulan berkenaan pernah meraih beberapa anugerah termasuk pingat emas.

“Pelajar senior meraih banyak anugerah dalam penyertaan terdahulu antaranya kami membawa pulang emas pada 2013.

“Untuk kali ini kami ingin sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat emas lagi atau Grand Champion,” katanya.

Festival Tarian Dunia Cheonan 2018 merupakan satu antara perayaan tahunan terbesar di bawah Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Republik Korea Selatan.

Ia sebuah platform untuk meraikan kepelbagaian budaya dan keunikan peserta dari seluruh dunia melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan.

UPAG akan bertanding melalui empat kategori iaitu pertandingan International Folk Dance, Street Dance Parade and Performance, Solo and Duet dan the Funny Dance Battle.

Selain Malaysia, Festival Tarian Dunia Cheonan turut disertai negara seperti Sepanyol, Korea, China, Slovakia, Afrika Selatan, Thailand, Mexico, Indonesia dan Brazil pada festival yang meraikan ulang tahunnya yang ke-15 tahun ini.

Terdahulu, selain tahun 2013, UPAG pernah mewakili Malaysia pada tahun 2015, 2012 dan 2011.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Alumni Universiti Teknologi Petronas Prof Madya Dr Nor Hisham Hamid berkata pihak universiti berharap perwakilan UPAG dapat mengharumkan nama negara di festival berkenaan.

“Kami amat berbangga dapat mewakili Malaysia. Ini adalah pemangkin untuk dunia luar mengenali kesenian dan keunikan budaya tarian kita dengan lebih dekat.

“Diharap dengan usaha yang sedikit ini, kita dapat menonjolkan budaya dan bakat pelajar Malaysia selain berharap mereka pulang dengan membawa kejayaan,” katanya.

Lihat Komen
ADS