Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Selepas One Two Jaga, Chew jadi bapa Ahok
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 2:56 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Pelakon Malaysia Chew Kin Wah kini membina nama di Indonesia apabila diberi kepercayaan menggalas watak sebagai bapa bekas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama dalam filem A Man Called Ahok.

Chew menyifatkan bapa Basuki, Tjoeng Kiem Nam sebagai seorang lelaki yang teramat istimewa.

“Dia orang yang sungguh 'gila'. Dia tiada wang tetapi masih mahu menolong orang. Dia membeli ubat di farmasi dan kemudian berikan kepada sesiapa yang sakit,” katanya seperti dipetik Liputan 6.

A Man Called Ahok diarahkan Purtrama Tuta dan diadaptasi daripada buku A man called #Ahok: Sepenggal kisah perjuangan & ketulusan, naskhah yang ditulis Rudi Valinka.

Filem itu mengisahkan perjalanan hidup Basuki atau Ahok, 52, dari kecil hingga dilantik sebagai gabenor Jakarta.

Ia juga menceritakan hubungan antara Ahok dan bapanya. Manakala watak Ahok pula dijayakan oleh Daniel Mananta.

Bekas gabenor Jakarta itu dilihat memainkan peranan amat penting dalam masyarakat di Indonesia selain mendapat asuhan daripada bapanya.

Ahok menjawat jawatan sebagai gabenor Jakarta kira-kira empat tahun bermula 19 November 2014.

Menjelaskan lebih lanjut peranan dibawakannya itu, pelakon filem One Two Jaga itu berkata dia bernasib baik kerana tidak perlu berdepan terlalu banyak cabaran sewaktu melalui proses penggambaran.

Guna bahasa Melayu Belitung

Cuma kata Chew atau nama Islamnya, Anuar Chew Abdullah, saat dirasakan sukar adalah ketika perlu menggunakan bahasa Melayu Belitung dan Indonesia.

“Kesulitan? Bahasa Belitung, berdekatan dengan Malaysia Selatan. Ada juga pendekatan bahasa Indonesia. Harus belajar dua loghat dicampur.

“Saya berterima kasih kepada orang yang mengajar, dia orang Belitung asli dan pernah berlakon dalam Laskar Pelangi,” katanya dengan loghat tempatan.

Selain itu, kata pelakon yang pernah dinobat sebagai Pelakon Pembantu Pilihan Tempo itu, dia juga perlu melalui tempoh saringan yang memakan masa cukup lama.

“Tahun lalu, pada Oktober, Tuta menghubungi pihak pengurusan di Malaysia untuk proses saringan.

“Ini paling lama, tiga sampai empat jam. Dan untuk proses reading pada 2018 saya datang bersama Daniel dan Donny,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS