Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Estranged sanggup 'pulaukan' YouTube, Spotify
Diterbitkan:  Sep 18, 2018 3:34 PM
Dikemaskini: 7:43 AM

Seiring dengan perkembangan teknologi, kebanyakan golongan muda sememangnya lebih tertumpu kepada Internet bagi mengakes platform seperti laman perkongsian video (YouTube) atau layanan streaming muzik (Spotify).

Namun, berbeza bagi kumpulan Estranged yang bertindak sebaliknya apabila memilih pendekatan berbeza bagi mengetengahkan single terbaru mereka berjudul Milik Ku.

Vokalis, Rich Gimbang percaya saluran media berkenaan tidak membawa manfaat seperti yang diinginkan.

Justeru, kumpulan yang turut dianggotai Solihuddin Hormat (gitar) dan Nor Hanafi Nor Hadi (gitar) itu sebulat suara mengambil keputusan untuk tidak memuat naik karya terbaru mereka melalui platform berkenaan lagi.

“Kami hanya percayakan hasil melalui penjualan cakera padat (CD), malah melalui jualan fizikal ia akan memberi satu pengalaman yang bersifat lebih peribadi.

“Ia berlainan kerana pembeli dapat memiliki sesuatu yang fizikal daripada digital. Malah ia merupakan sebuah memento daripada Estranged,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan yang diambil membuahkan hasil memberangsangkan apabila CD kumpulan yang popular dengan lagu-lagu seperti Hancur Aku, Itu Kamu dan Yang Pernah itu laris dijual sebanyak 300 unit.

Perkembangan positif itu berlaku sewaktu Pesta Harapan anjuran Malaysiakini berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya pada 15 September lalu.

Din pula menegaskan, keputusan itu dibuat kerana kumpulan berkenaan merasakan jaringan Spotify dan YouTube tidak dapat memberi sebarang pulangan yang lumayan.

“Kita banyak lagu tapi tiada duit atau pulangan yang setimpal dan perkara ini amat menyedihkan,” ujar Din.

Lihat Komen
ADS