Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Games of Thrones menang besar di Anugerah Emmy
Diterbitkan:  Sep 18, 2018 6:47 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Drama bersiri fantasi HBO, Game of Thrones (GoT) diangkat sebagai Siri Drama Terbaik buat kali ketiga dalam sejarah Anugerah Emmy yang berlangsung hari ini.

Ini kejayaan kali ketiga diraih GoT yang sebelum ini mengungguli kategori sama pada 2015 dan 2016 malah ia juga merupakan drama dicalonkan paling banyak tahun ini iaitu 22 pencalonan.

Kemenangan itu menandakan kejayaan yang tidak dijangka-jangka buat GoT selepas siri musim ketujuh disiarkan terlalu lewat menyebabkan ia berdepan kekangan untuk dicalonkan bagi anugerah tahun 2017.

GoT mengalahkan drama The Americans, Westworld, This is Us, Stranger Things, The Crown dan The Handmaid's Tale.

Pelakon Peter Dinklage juga membawa pulang trofi bagi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik bagi Drama Bersiri buat kali ketiga.

Selain Dinklage, pelakon gandingan Nikolaj Coster-Waldau, Lena Headey dan pelakon jemputan Diana Rigg turut mendapat pencalonan dalam acara Anugerah Emmy ke-70 yang berlangsung di Los Angeles, AS itu.

Keseluruhannya, GoT berjaya membawa pulang sembilan trofi termasuk anugerah teknikal bagi kesan khas dan lagak ngeri yang dimenangi menerusi kategori Creative Arts Emmy.

Sementara itu, drama bersiri saluran Amazon, Marvelous Mrs Maisel mencatat rekod tersendiri apabila berjaya memenangi anugerah pertama Emmy pada kali ini.

Karya berkisahkan seorang suri rumah 1950-an bertukar menjadi pelawak itu berjaya membawa pulang tujuh anugerah termasuk Siri Komedi Terbaik Emmy.

Lihat Komen
ADS