Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ratu Cantik Miss Amazing Malaysia tingkat keyakinan OKU

Kerajaan disarankan memainkan peranan selain membuka peluang golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) khususnya wanita membina keyakinan diri melalui penganjuran berbentuk pertandingan ratu cantik.

Senator Bathmavathi Krishnan berkata, platform seperti itu diyakini akan memberi inspirasi, menyemai jati diri golongan OKU, selain mermatabatkan keupayaan mereka yang bertanding.

“Mungkin Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan boleh membantu dan memberi sokongan kepada pertandingan yang melibatkan ratu cantik dari golongan Orang Kelainan Upaya.

“Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, kita juga sentiasa ingin menunjukkan teladan kepada dunia luar bahawa rakyat Malaysia tidak mengasingkan OKU atau menafikan hak mereka,” katanya kepada Malaysiakini.

Bathmavathi ditemui pada sidang media pengumuman pertandingan Miss Amazing Malaysia di Brickfields, Kuala Lumpur semalam.

Miss Amazing Malaysia, anjuran Amazing Girls Solutian adalah satu usaha bukan konvensional yang cuba mentakrifkan semula definisi pertandingan ratu cantik yang biasa dianjurkan di seluruh dunia.

Pertandingan seumpamanya diadakan itu bermatlamat menyediakan platform kepada wanita tempatan yang mengidap penyakit seperti Sindrom Down, Vitilago dan mana-mana individu dikategorikan sebagai OKU.

Sesi uji bakat akan diadakan di LOKA Malaysia pada 7 Oktober ini dan penyertaan wajib didaftarkan pada jam 11 pagi.

Bagaimanapun, pertandingan Miss Amazing Malaysia tidak dibuka kepada wanita berkerusi roda, bisu atau cacat penglihatan dan pendengaran.

Bathmavathi yang hadir sebagai tetamu jemputan menegaskan peranan beliau sebagai senator adalah untuk mengutarakan isu-isu OKU di Parlimen dan kehadirannya semalam tidak mewakili mana-mana parti politik.

“Saya tidak memihak mana-mana parti politik atau kerajaan,” katanya yang pernah memenangi tempat kedua pertandingan ratu cantik berkerusi roda pada 2004.

Dalam pada itu, Bathmavathi menyatakan harapannya untuk melihat pertandingan yang membuka ruang dan peluang kepada wanita OKU seperti Miss Amazing Malaysia mendapat sambutan ramai dan sentiasa berterusan.

“Saya berharap selepas pertandingan Miss Amazing Malaysia dijalankan, program seperti ini dapat diteruskan sekurang-kurang dua tahun sekali,” katanya.

Sementara itu, pengasas Miss Amazing Malaysia, Maynicca Dewi Rajamanikam berkata, dia berdepan cabaran hebat sebagai individu yang bertanggungjawab menarik penyertaan ramai wanita OKU.

Katanya, kebanyakan ibu bapa gemar mengambil pendirian tidak mahu mendedahkan anak mereka kepada masyarakat

“Memang sukar terutama apabila ramai ibu bapa tidak percaya diri selain menanam sikap negatif dan mengelak daripada membiarkan anak-anak mereka bergaul dengan masyarakat,” katanya.

Justeru, katanya, pertandingan seperti ini bersesuaian untuk mengubah persepsi ibu bapa atau wanita OKU semasa berinteraksi dengan persekitaran.

“Saya ingin membuka peluang wanita OKU merasai pengalaman berjalan di karpet merah, memakai pakaian tradisional atau pereka fesyen dan disolek dengan cantik.

“Ini satu peluang besar yang membolehkan peserta pertandingan meningkatkan kemahiran interpersonal selain membina keyakinan diri untuk berdepan masyarakat,” katanya.

Lihat Komen
ADS