Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Bagaimana Nam Ron hampir jadi perompak
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 5:12 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Bagi yang sudah menonton filem One Two Jaga, pasti masih ingat babak Hussein (anggota polis baru yang dilakonkan Zahiril Adzim) sedang melihat papan statistik jenayah termasuklah kes rompak dan samun.

Pada masa sama, ada seorang lelaki yang ditahan polis kerana terpaksa mencuri bagi mengisi perut diri sendiri dan isterinya.

Untuk pengarahnya Nam Ron, itulah realiti kehidupan di dunia sebenar - betapa seseorang itu sanggup melakukan apa saja kerana kesempitan hidup.

Namun baginya, ia bukanlah sekadar satu kisah di layar lebar sebaliknya realiti yang pernah dihadapinya sendiri bertahun-tahun lalu.

Menerusi hantaran di Facebook semalam, Nam Ron, 47, mengimbas kembali pengalaman hampir 18 tahun lalu ketika berdepan kesusahan hidup sewaktu baru menamatkan pengajian dan sedang belajar untuk hidup sendiri pada masa sama menggapai cita-cita sebagai seorang pelakon dan pengarah.

Kerana kesusahan itu, dia hampir saja merompak kedai serbaneka 7-Eleven akibat kelaparan.

"Pekerjaan aku ketika itu adalah krew teknikal dan pentas. Bayaran tidak tetap - Ada show ada bayaran dan pastinya tidak lumayan.

“Pada satu ketika, aku sudah berbulan tak ada kerja. Maknanya duit pun tak ada. Barang-barang makanan semua sudah habis (di bilik sewa)," katanya.

Dan ia bukanlah makanan mewah tetapi menurutnya hanya makanan kering seperti telur, ikan kering, dan kicap kerana tiada peti sejuk di rumahnya.

"Dalam keadaan lapar aku berdiri depan 7-Eleven di bawah rumah. Aku fikir pisau di dapur, aku fikir nak acu pisau pada juruwang dan suruh dia serahkan duit. Kalau kena tangkap, aku nak cakap sudah seminggu tak makan sebab tak ada kerja," katanya lagi.

Namun dia 'diselamatkan' oleh beberapa duit syiling yang berbaki di poketnya dan digunakan untuk menaiki bas ke pejabat pengarah filem U-Wei Haji Saari.

"Aku abaikan dulu kerja rompakan aku. Aku kenal U-Wei sebab dia selalu datang sokong persembahan teater dan puji hasil kerja aku.

"Sampai pejabatnya...tanpa salam atau berjabat tangan aku cakap 'tadi saya berdiri depan 7-Eleven nak rompak. Saya sudah seminggu tak makan, kalau abang tak bagi duit saya pergi rompak kedai itu'.

Katanya lagi, pengarah filem Jogho itu menjadi penyelamatnya dengan memberikan RM50 serta berkongsi pengalaman ketika U-Wei sendiri hidup dalam kesusahan ketika belajar di New York.

Menurut Nam Ron, dia sudah tidak ingat lagi sama ada U-Wei membawanya makan selepas berbual di pejabat.

"Apa yang pasti RM50 yang diberikannya itu buatkan aku tangguh rancangan untuk 'rompak' 7-Eleven."

Dan kisah itulah menurutnya diabadikan dalam babak pendek di permulaan filem terbarunya itu.

"Seperti kata seorang pegawai polis, 'nak tau ekonomi kita okey atau tak tengok kadar jenayah membabitkan curi dan samun'.

"Ketika itu aku berdiri memandang papan kenyataan yang menunjukkan berpuluh-puluh kes jenayah di bawah kawalan balai tersebut. Dan itupun aku masukkan dalam One Two Jaga," katanya lagi.

Filem tersebut mengisahkan bagaimana anggota polis dan golongan imigran berdepan dengan keterdesakan hidup serta manipulasi orang-orang di sekitar mereka.

Jalan hidup mereka bertembung dan membawa kepada pengakhiran yang sarat dengan pengajaran.

One Two Jaga kini memasuki minggu kedua tayangan.

Lihat Komen
ADS