Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Curi rakam Munafik 2: Jangan sampai dapat surat peguam
Diterbitkan:  Sep 19, 2018 11:07 PM
Dikemaskini: 3:18 PM

Pihak yang mencuri rakam dan menyiarkan filem Munafik 2 ketika ia masih ditayangkan di pawagam bakal berdepan tindakan undang-undang sekiranya mereka berdegil dengan perlakuan berkenaan.

Amaran itu dikeluarkan seorang daripada pelakon Munafik 2, Datuk Fizz Fairuz, selepas dia mendapati filem berkenaan disiarkan pengguna Facebook.

“Video anda melebihi 15 saat. Melanggar Akta Hak Cipta. Jika anda berdegil, syarikat kami akan mengambil tindakan ke atas anda,” katanya di Instagram.

Menurut Fizz, tidak sukar menjejak mana-mana individu yang melakukan cetak rompak terhadap Munafik 2 - yang mencatat rekod kutipan tertinggi filem tempatan sebanyak RM40 juta setakat ini - kerana mereka mempunyai cara untuk melakukannya.

“Hati-hati kalau nak upload atau kongsi filem Munafik 2 yang masih lagi ditayang di pawagam.

“Takut nanti surat peguam sampai depan rumah. Bukan susah nak jejak orang yang muat naik (dalam talian) tu. Siap boleh dapat nombor kad pengenalan sekali.

"Kadang-kadang lepas bagi amaran mereka terus sekat aku, tapi mereka tak tahu team aku yang 20 orang tu boleh tengok FB mereka," katanya.

Kenyataan itu kemudian diulang siar semula oleh pengarah dan pelakon Munafik 2, Syamsul Yusof. Ketika ini Syamsul berada di London.

Menurut Fizz yang membawakan watak sebagai Ustaz Azman, butiran peribadi pemilik akaun Facebook yang melanggar Akta Hak Cipta sudah diperolehi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Justeru, Fizz menggesa pemilik akaun terbabit segera mematuhi arahan dengan menurunkan filem berkenaan daripada Facebook.

“Sila padam video Munafik 2 sebelum IP address (alamat penyedia Internet) anda dikunci. Dengan ini amaran telah diberikan kepada anda bertarikh 19 September 2018.

“Amaran ini akan diguna pakai di mahkamah persekutuan jika gagal dipatuhi. Akta Hak Cipta. Amaran telah diberikan oleh pihak Skop Production Sdn Bhd,” katanya.

Munafik 2 yang turut membariskan pelakon seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Rahim Razali Weni Panca dan Fauzi Nawawi itu mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 30 Ogos lalu.

Filem berdurasi 120 minit itu bakal menjengah pawagam Indonesia pada 26 September ini.

Lihat Komen
ADS