Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Giliran Sahara Yaacob jadi srikandi pembela Najib
Diterbitkan:  Sep 20, 2018 1:26 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Berang dengan lebih 30 pertuduhan yang bakal didepani Datuk Seri Najib Razak, Sahara Yaacob meluahkan kata-kata penuh beremosi mengajak penyokong bekas perdana menteri itu bangkit bersolidariti.

Penyanyi yang popular era 1980-an itu meluahkan perasaan demikian kerana berasakan Najib tidak diadili dengan undang-undang yang adil.

“Maaf saya emosi kerana saya tidak suka pada ketidakadilan. Saya dilahirkan dan dididik supaya menegakkan kebenaran dan keadilan sebagai nombor satu.

“Apabila berada dalam kesusahan kita semua ibarat take it too cool, too easy. Saya rasa ini tak OK," katanya melalui klip video yang kini menjadi tular di media sosial.

Justeru kata Sahara rakyat di negara ini mesti menyuarakan pandangan mereka dengan menolak tindakan ke atas Najib.

Kata Sahara dia melihat Najib seperti sedang didera dan dibuli. Justeru katanya adalah "mengarut" untuk kerajaan mendakwa mereka sedang mendaulatkan undang-undang.

"Apa ini... rule of law (kedaulatan undang-undang) ini mengarut,” katanya.

Mahu semua bangun

Sahara berkata demikian semasa menyertai lebih 20 orang penyokong Najib yang berkumpul sebagai tanda kebersamaan mereka malam tadi.

Perhimpunan tersebut diadakan di luar bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Ia diketuai anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam.

Sebelum ini seorang lagi selebriti, Ellie Suriaty, sering menyertai protes yang diadakan oleh Lokman.

Dalam ucapannya Sahara berkata, tidak wajar seorang pemimpin yang disanjungnya itu diperlakukan sebegitu.

“Kita satu negara maju. Kita punya pemimpin mati-matian nak sampaikan kita ke tahap ini sebagai satu negara maju. Tiba tiba kita boleh biar kerajaan sekarang ini mendera Datuk Seri macam itu.

“Ini tak OK! Tolong, apa yang berlaku kepada Datuk Seri boleh berlaku kepada rakyat Malaysia yang lain.

“Kamu perlu bangun dan pertahankan jika tidak kamu akan kena, dan demi tuhan, kita perlu bersatu.

“Apa yang benar tetap benar dan kamu tak boleh nafikan apa salah adalah salah," katanya.

Kata penyanyi yang dikenang dengan lagu Peronda Jaket Biru itu, tidak mungkin kerajaan Pakatan Harapan mampu menandingi "pemberian" Najib selama sembilan tahun beliau berkhidmat untuk negara.

“Apa yang Datuk Seri buat untuk rakyat Malaysia sembilan tahun kamu tidak akan boleh buatlah...

“Datuk Seri kerja keras sampai orang tuduh dia, isteri dia, fitnah sampai dia tak masa nak jawab," katanya.

Lihat Komen
ADS