Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Siti bersyukur Malaysia aman walau berbeza fahaman

Sepanjang 22 tahun bergelar anak seni, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin bersyukur beliau tetap meraih sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat yang terdiri daripada pelbagai latar kaum dan budaya.

Walaupun rata-rata peminatnya memiliki pelbagai fahaman berbeza termasuk dalam hal politik, itu tidak menghalang mereka melahirkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Menurut Siti Nurhaliza, perpaduan dan hubungan harmoni seperti itu hanya diperoleh melalui negara yang masih aman.

“Takkan ada negara seaman dan sangat muhibah serta harmoni seperti Malaysia ini yang kita nikmati walaupun mempunyai fahaman politik berbeza.

“Kita masih tetap saling hormat-menghormati dan nampak (perpaduan) budaya, tak kiralah agama apa pun.

“Saya sendiri kalau bertemu peminat tak kira bangsa India, Cina Kadazan pun mereka sangat menghormati,” katanya kepada Malaysiakini.

Siti Nurhaliza, 39, ditemui pada Konsert Perpaduan Ambang Hari Malaysia untuk Pesta Harapan anjuran Malaysiakini yang berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya baru-baru ini.

Muzik menyatukan manusia

Beliau seorang daripada 23 penghibur yang membuat persembahan pada malam itu.

Siti Nurhaliza juga bersyukur sepanjang berkecimpung dalam dunia hiburan beliau jarang berdepan kesulitan.

Penyanyi Jerat Percintaan itu turut berkongsi pengalamannya melihat respon peminat semasa membuat persembahan di Taiwan dan Shanghai.

“Mereka beri kata-kata semangat, tidak sangka saya pergi mana-mana pun mereka masih sudi menegur saya.

"Saya gembira kerana itu menunjukkan mereka prihatin. Kalau tak kenal Siti Nurhaliza mereka kenal muzik saya,” katanya.

Siti Nurhaliza yang pernah merakam lagu Tamil, Nenjae Ezhu, ciptaan komposer terkenal A R Rahman juga tidak menyangka karya berkenaan membuka satu lembaran baru buatnya.

“Disebabkan lagu itu, saya tiba-tiba mempunyai ramai peminat berbangsa India yang mungkin selama ini tidak berani menegur,” katanya.

Kata Siti Nurhaliza, muzik membawa keajaiban dan boleh dijadikan alat mencapai perpaduan kerana menjadi perantaraan budaya yang mendekatkan semua kaum di Malaysia.

"Setiap kali buat perjumpaan dengan Sitizoners saya dapat lihat peminat yang hadir terdiri daripada kaum berbeza.

“Walau orang tak faham apa kita nyanyi, orang masih boleh terima muzik kita,” katanya.

Lihat Komen
ADS