Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Makyung 'Anak Raja Tangkai Hati' di Matic, 28 dan 29 Sept

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan pementasan Teater Tradisional Makyung "Anak Raja Tangkai Hati” di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Sept ini.

Pengarah JKKN Kelantan Jasmi Rasit berkata teater itu akan dipersembahkan oleh Kumpulan Makyung Kijang Emas, satu-satunya kumpulan kesenian Makyung yang diselia sepenuhnya oleh jabatan tersebut sejak 2006.

“Penubuhan kumpulan ini adalah hasil daripada Program Perantisan Makyung mulai 2005 oleh JKKN Kelantan dalam usaha untuk memelihara dah memartabatkan kesenian Makyung agar teater tradisional ini terus popular dan mempunyai pelapis yang akan mewarisi seni ini,” katanya kepada Bernama ketika hadir di Pra Tonton Persembahan Makyung ‘Anak Raja Tangkai Hati’ di Kompleks JKKN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Jasmi berkata apa menguatkan lagi usaha dan hasrat pihaknya ialah apabila kesenian Makyung diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) dalam senarai Warisan Tak Ketara sebagai “Masterpiece of the Oral and Intangible Heritage of Humanity” pada November 2005.

“Kumpulan Makyung Kijang Emas terdiri daripada 22 orang anggota dibawah bimbingan penggiat makyung Ruhani Mohd Zin dan telah berjaya mementaskan beberapa siri persembahan dan jelajah ke seluruh negara,” katanya.

“Antaranya menerusi KL Festival , Siri Teater Tradisional Malaysia, selain pentas antarabangsa di Singapura, Taiwan dan Thailand melalui Program Kelantan Food Promotion (2012), Taipei International Travel Fair (2013) dan Pentas Kebudayaan Dua Negara Malaysia-Thailand (2014-2016).

“Sepanjang penubuhannya, lebih 10 daripada cerita hikayat berjaya dipentaskan oleh kumpulan ini dan telah dianugerahkan sijil penghargaan sebagai kumpulan Kesenian Tradisional Sokongan Industri Pelancongan Negeri Kelantan,” katanya.

Harga tiket bagi menyaksikan persembahan itu ialah RM20 dan RM50 bagi tiket premium, boleh dibeli melalui talian hotline 03-26148261, 012-5186452, dan 03-26148214.

- Bernama

Lihat Komen
ADS