Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Orang Itu mahu buka mata tentang kemelut gelandangan

Filem Orang Itu bukan bertujuan komersial dan cuba memberi pencerahan mengenai kehidupan gelandangan.

Pengarah dan pelakon Low Ngai Yuen berkata, masalah kewangan dan cara hidup golongan itu, antaranya tidur di kaki lima, menyebabkan mereka terdedah kepada ancaman penyakit seperti hepatitis.

“Pemahaman gejala atau simptom hepatitis amat berkurangan buat mereka yang dilanda kemiskinan.

“Mereka tidak mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan. Jika diri sendiri dibelenggu masalah seharian seperti kewangan, adakah mereka akan memikirkan pencegahan hepatitis?” katanya.

Low yang juga presiden Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis berkata pihaknya dengan kerjasama HFM dan Hepatitis Free Malaysia berhasrat mengumpul dana untuk kempen Find The Missing Thousands melalui malam gala pada 16 Oktober ini.

Kata Low, Find The Missing Thousands bertujuan meraih sumbangan orang ramai untuk membiayai kit Hepatitis yang akan diberikan percuma kepada gelandangan.

“Kit berkenaan bukan saja dimuatkan dengan maklumat berhubung penjagaan, pencegahan dan alat pemeriksaan untuk hepatitis.

“Ia turut menyediakan saranan untuk tindakan selanjutnya yang perlu diambil sekiranya seseorang itu didiagnos positif dengan virus hepatitis,” katanya yang menyasarkan kutipan jualan tiket sehingga RM500,000.

Low ditemui pada sidang media pengumuman kerjasama antara Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis dengan HFM di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Menurut bekas pengacara rancangan 3R itu, jualan tiket untuk penonton menyaksikan tayangan filem yang memulakan penggambarannya pada 2015 itu dibuka bermula semalam.

Orang Itu dibarisi pelakon seperti Sofea Jane, Carmen Soo, KK Wong, Sawyer Leong, Redza Minhat, Nam Ron, Tony Eusoff dan Radhi Khalid.

Filem hampir dua jam itu mengisahkan seorang wanita (dilakonkan Sofea) kembali selepas 30 tahun ke ibu kota yang pernah meninggalkan peristiwa hitam dalam hidupnya.

Orang itu diilhamkan melalui kisah-kisah gelandangan dalam buku berjudul They Took My Shoes garapan bersama Carmen Soo dan Michelle Yoon.

Low yang biasa menghasilkan filem-filem pendek dan dokumentari ingin membawa karya berkenaan menyertai festival di luar negara.

Katanya, matlamatnya adalah untuk membantu mengurangkan masalah komuniti dan bukan mengejar keuntungan semata-mata.

“Itu bukan jenis perniagaan yang saya usahakan. Saya lebih berminat mengenai masalah yang membebankan masyarakat,” katanya.

Lihat Komen
ADS