Paling Popular
Terkini

Penyanyi Suci Dalam Debu, Saleem dilaporkan terbabit kemalangan jalan raya semalam dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

Susulan kejadian itu, satu imej memaparkan Saleem terlantar di sebuah wad hospital menjadi tular di beberapa akaun di media sosial.

Kenyataan mengiringi imej berkenaan mendakwa Salem terlibat kemalangan jalan raya selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar kereta dari arah belakang.

Semasa kejadian vokalis Iklim itu dikatakan keluar membeli barang.

Dikatakan 12 tulang rusuk Saleem patah dengan satu daripadanya mencederakan paru-parunya.

Isteri Saleem, Juriah @ Julia Bachok bagaimanapun menggesa orang ramai agar tidak mudah percaya kepada berita yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Katanya, dia tidak boleh menceritakan kejadian sebenar kerana tidak berada di tempat kejadian.

Sebaliknya Julia berkata dia ketika itu keluar rumah untuk membeli baju sebagai persediaan menghadiri majlis bertemu peminat di Shah Alam.

Buka mata sikit

“Memang Saleem cedera, tetapi saya tidak berada di tempat kejadian dan tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku.

“Tolong jangan percaya bulat-bulat apa disiarkan di media sosial,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Juriah yang juga bertindak sebagai pengurus Saleem berkata keadaan suaminya itu buat masa ini stabil dan masih diberi rawatan untuk tahap kecederaan yang tidak dijelaskan lebih lanjut.

Sementara itu Juriah memberitahu laporan polis berhubung kemalangan tersebut sudah dibuat.

Hospital Kajang pula mengesahkan Saleem dibawa masuk ke wad kira-kira jam 10 malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, Datuk DJ Dave, yang dihubungi Malaysiakini berkata dia sedang cuba membantu Saleem, 57, agar dapat dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secepat mungkin.

“Saleem hanya boleh membuka mata sedikit dan menunjukkan ibu jari sebagai isyarat dia berada dalam keadaan OK.

“Saya sudah berurusan dengan pengarah hospital di sana dan kami juga sedang membuat persiapan agar Saleem boleh dipindahkan segera,” katanya yang berharap orang ramai mendoakan agar penyanyi itu lekas sembuh.

Lihat Komen
ADS