Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Michelle Yeoh pun terpikat pada buku tentang Jho Low
Diterbitkan:  Sep 21, 2018 9:15 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Ketika Jho Low terus menjadi buruan pihak berkuasa di beberapa negara berikutan dakwaan penyelewengan dana 1MDB, pelakon terkenal Tan Sri Michelle Yeoh memuji buku yang ditulis mengenai jutawan kontroversi terbabit.

Pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia itu berkata, Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World itu dihasilkan daripada buah fikiran yang hebat.

“Saya menyukai bagaimana bijaknya buku yang dilaporkan oleh wartawan Bradly Hope dan Tom Wright. #billiondollarwhale buku yang menarik,” katanya di Instagram.

Billion Dollar Whale yang dilancarkan pada Selasa lalu mengandungi 400 muka surat, dikarang oleh dua wartawan yang berkhidmat di The Wall Street Journal (WSJ).

Buku itu memuatkan pelbagai butiran perbelanjaan Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - yang didakwa gemar berpesta, berfoya-foya serta bermewah-mewahan dengan kehadiran selebriti seperti Paris Hilton.

Billion Dollar Whale juga mendedahkan Jho Low dikehendaki pihak berkuasa di beberapa negara termasuk Malaysia kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Penulis juga mendakwa pada Februari 2017 Jho Low membawa isterinya, Jesselynn Chuan Teik Yin dan anak lelaki mereka menaiki kapal persiaran mewah Equanimity, pangsapuri dan hotel di Thailand serta China bagi mengelak kemungkinan ditangkap.

Sudah dituduh di mahkamah

Buku itu menyebut: "Takut ditangkap jika dia pergi ke mana-mana negara Barat, dia tinggal di kapal dan di pangsapuri di St Regis Bangkok dan Pacific Place di Hong Kong.

"Thailand yang dikuasai oleh junta tentera merupakan tempat yang selamat untuk Low, manakala China melihatnya sebagai aset strategik,” menurut keterangan buku itu.

Jho Low bagaimanapun menafikan semua tuduhan dalam buku berkenaan selain menyatakan bahawa ia sama sekali tidak berasas.

Dia turut dilaporkan cuba menghalang pengedaran Billion Dollar Whale dengan menghantar surat ugutan kepada kedai buku di seluruh dunia.

Usaha Jho Low sebaliknya mendapat 'penghargaan' daripada Wright dan Hope di New York baru-baru ini kerana beranggapan ia memberi mereka publisiti tambahan.

Jho Low antara individu yang rapat dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini dihadapkan dengan lebih 30 tuduhan jenayah.

Semalam, Najib dihadapkan ke muka pengadilan dengan empat lagi pertuduhan salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi mendapatkan RM2.28 bilion dan beliau juga menghadapi 21 lagi pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Beliau mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap pertuduhan berkenaan.

Michelle yang terkenal dengan filem aksi Amerika dan Hong Kong seperti James Bond Tomorrow Never Dies dan Crouching Tiger Hidden Dragon pernah menyatakan sokongan penuh terhadap Najib dan BN pada PRU ke-13 lalu.

Lihat Komen
ADS