Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Afgan pilih KL untuk peringati 10 tahun jadi anak seni
Diterbitkan:  Sep 24, 2018 12:52 PM
Dikemaskini: 5:14 AM

Penyanyi dan pencipta lagu Indonesia, Afgan, akan kembali ke Malaysia untuk meraikan sambutan ulang tahun sedekad pembabitannya dalam industri muzik.

Kemunculan Afgan itu akan dilakukan melalui konsert Dekade Live in Kuala Lumpur di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 3 November ini.

Dianjurkan oleh Nizra Production Sdn Bhd, konsert itu merupakan hadiah istimewa daripada Afgan buat peminat setianya sepanjang 10 tahun pembabitan dalam industri muzik.

Konsert ini akan membawa penonton menyaksikan rangkuman perjalanan karier Afgan bermula dari album pertama, Confession No 1 pada 2008 hingga album terkininya berjudul Dekade.

Ketua Pegawai Operasi Nizra Production Sdn Bhd, Nik Iruwan Nik Izani berkata, Dekade merupakan konsert istimewa kerana Afgan memang memilih Malaysia sebagai lokasi pertama sambutan memperingati pembabitannya dalam seni hiburan selepas sedekad.

“Dengan mempunyai kapasiti untuk memuatkan hampir dua ribu lima ratus orang beserta populariti Afgan di Malaysia, kami menjangkakan juala tiket untuk konsert itu akan habis," katanya dalam satu kenyataan.

Dewan Plenary di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi kerana ia mampu memberi suasana bersesuaian dengan objektif konsert yang dianjurkan Maybank itu.

Penyanyi kelahiran Jakarta yang diberi nama asal Afgansyah Reza itu pernah memenangi lebih 50 anugerah termasuk album terbaik dan artis lelaki terbaik di Anugerah Planet Muzik.

Dia juga pernah berkolaborasi dengan artis lain seperti Datuk Shiela Majid, Datuk Rossa, Raisa, SonaOne dan terkini Isyana Sarasvati dan Rendy Pandugo.

Dia juga pernah membintangi beberapa filem seperti Cinta 2 Hati dan Refrain selain program TV termasuk menjadi juri bagi X Factor Indonesia.

Album terbaru Afgan berjudul Dekade dilancarkan baru-baru ini mengandungi 14 buah lagu termasuk 3 buah lagu dari album terdahulu.

Antara lagu-lagu hit pernah disampaikan Afgan adalah Jodoh Pasti Bertemu, Panah Asmara dan Bukan Cinta Biasa,dan terkini dari album Dekade, Sudah.

Konsert itu dianggap bermakna buat Afgan kerana ia akan memperlihatkan rangkuman pengaruh muzik yang membentuk kematangannya dalam industri hari ini.

Kaunter jualan tiket dibuka sejak 21 September lalu dan maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari https://premier.ticketcharge.com.my atau hubungi Hotline di talian 03-9222 8811.

Lihat Komen
ADS