Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Seperti bapa - itu tanggapan dan penghormatan Datuk Seri Siti Nuharliza Tarudin terhadap pencipta lagu terkenal, Pak Ngah, yang meninggal dunia petang tadi.

Berkongsi perasaan sedihnya atas kehilangan Datuk Suhami Mohd Zain - nama sebenar Pak Ngah - itu, Siti Nurhaliza berkata ia adalah kehilangan besar buat peminat seni muzik, terutama penyokong lagu-lagu irama Malaysia.

“Arwah Pak Ngah banyak membantu saya dalam kerjaya sebagai penyanyi. Siti dah anggap dia macam bapa dan anggota keluarga sendiri.

“Ini satu kehilangan yang sangat besar buat dunia seni,” katanya dalam satu pesanan ringkas kepada Malaysiakini.

Pak Ngah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3 petang tadi semasa berada di Batam, Indonesia sejak 21 Sept atas urusan kerja.

Beliau dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Siti Nurhaliza yang pernah menyanyikan banyak lagu hasil nukilan Pak Ngah seperti Cindai, Balqis, Hati Kama dan Nirmala berkata, beliau tidak mungkin akan melupakan jasa dan pengorbanan disumbangkan tokoh terbabit.

Akan dibawa ke KL

“Pak Ngah banyak hasilkan karya terbaik.

"Semoga karya Pak Ngah akan terus hidup meskipun Pak Ngah sudah tiada.

“Pak Ngah akan sentiasa ada dalam ingatan kerana beliau antara insan yang mula-mula menjaga Siti dan bekerjasama membawakan lagu tradisional,” katanya.

Siti Nurhaliza juga mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman.

“Buat keluarga Pak Ngah Siti ucapkan salam takziah semoga Pak Ngah ditempatkan bersama insan terpilih dan berada dalam husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Al-Fatihah,” katanya.

Selain Siti Nurhaliza, seorang lagi penyanyi yang sering mendapat sentuhan irama daripada Pak Ngah ialah Noraniza Idris.

Sementara itu anak Pak Ngah, Megat, memaklumkan jenazah akan dibawa dari Tanjung Pinang di Batam ke Pasir Gudang menggunakan feri kira-kira jam 8 pagi esok.

“Perjalanan dianggarkan mengambil masa dua jam. Di Pasir Gudang, van akan membawa jenazah ke masjid di Kampung Baru di Kuala Lumpur,” katanya.

Lihat Komen
ADS