Pelakon komedi Cosby dipenjara 3 hingga 10 tahun
Pelakon komedi Bill Cosby dihukum penjara tiga hingga 10 tahun selepas didapati bersalah memberi dadah sebelum merogol Andrea Constand di kediamannya, di Philadelphia, 14 tahun lalu.
Mahkamah Montgomery, Pennsylvania menolak permohonan ikat jamin Cosby menyebabkan aktor yang pernah digelar “Bapa Amerika” itu terpaksa bermalam di penjara sementara menanti proses rayuan oleh pihak pembelaan.
“Ini adalah jenayah berat. Kamu mendapat pembalasan atas kesalahan dilakukan. Harinya telah tiba, waktunya telah tiba,” kata hakim Steven O'Neill seperti dipetik CNN.
Cosby yang disabitkan kesalahan itu pada April lalu bagaimanapun enggan memberi kenyataan sewaktu prosiding diadakan.
Dia diarah membayar denda AS$25,000 serta kos guaman pihak pendakwa raya sebagai sebahagian daripada hukuman.
Dalam penghakimannya, Hakim Steven O’Neill mengklasifikasikan Cosby sebagai ‘pemangsa berbahaya’ yang memerlukannya menjadi pesalah seksual berdaftar sepanjang hayat dan melalui kaunseling pesalah jenayah seks seumur hidup.
O’Neill juga menetapkan amaran berhati-hati yang merujuk Cosby sebagai pemangsa seksual berbahaya perlu dikeluarkan kepada komuniti di kawasan yang didiaminya.
Pada 2004, Cosby memasukkan dadah dalam minuman Andrea sebelum menyerangnya secara seksual.
Andrea, bekas pemain bola keranjang membuat laporan polis pada 2005, namun pihak pendakwa raya enggan memulakan prosiding pertuduhan.
Mereka menyelesaikan kes itu di mahkamah sivil setahun kemudian.
Namun, sepuluh tahun kemudian, berpuluh-puluh wanita tampil mendakwa menjadi mangsa kepada Cosby selepas tokoh dunia hiburan itu menggunakan kaedah sama sebelum menyerang mereka secara seksual.
Pasukan baru pendakwa raya mengambil kes itu dan menangkap Cosby pada Disember 2015. Perbicaraan jenayah Cosby yang pertama menyaksikan keputusan juri ketika itu tergantung.
Pada April lalu, Cosby disabitkan dengan tiga pertuduhan atas perlakuan tidak senonoh kerana memberi dadah dan menyerang Andrea - satu kes berprofil tinggi selepas kempen #MeToo dilancarkan.
“Tiada sesiapa dikecualikan daripada undang-undang. Tiada sesiapa wajar dilayan dengan berbeza atau tidak adil,” kata O’Neill.
Cosby mencipta kemasyuran selepas membintangi pelbagai drama televisyen dan filem termasuk rancangan realitinya sendiri, The Cosby Show pada 1984.

