Aswara jalin kerjasama dengan 3 institusi filem Jepun
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan Malaysia (Aswara) menjalin kerjasama dengan tiga institusi perfileman Jepun bagi memperkasa pengetahuan pelajar dan pensyarahnya dalam bidang perfileman.
Tiga institusi perfileman negara matahari terbit itu ialah Japan Institute of The Moving Image (JIMI), Kawasaki City; School of Film and New Media, Tokyo University of the Arts; dan IMAGICA Corporation.
Kerjasama tersebut dijalin sewaktu lawatan Rektor Aswara, Prof Datuk Dr Mohd Rizon Juhari dan Dekan Fakulti Filem dan Televisyen Aswara, Dzul Karnain Abdullah ke negara itu baru-baru ini.
Mohd Rizon berkata : “Jepun antara negara di dunia yang maju dalam bidang perfilemannya. Dunia mengenali pengarah-pengarah filem mereka yang tersohor seperti Akira Kurosawa, Hayao Miyazaki, Yasujiro Ozu dan sebagainya.
“Jika sinema Malaysia ingin maju, pelajar, pensyarah dan karyawan filem termasuk yang ada di Aswara mesti berusaha menambah ilmu termasuk dari Jepun serta negara-negara lain.”
Beliau berkata kerjasama yang dijalin melibatkan persetujuan bagi program pertukaran pelajar dan pensyarah Fakulti Filem dan Televisyen Aswara ke institusi tersebut. Di samping itu, pelajar Aswara akan turut berpeluang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan doktor falsafah di sana.
Aswara dalam kenyataannya berkata ia akan memanfaatkan teknologi terkini seiring dengan kehadiran Revolusi Industri 4.0. Ini termasuk menggabungkan seni dengan teknologi semasa, sama ada bagi aktiviti promosi, pasaran, serta pengembangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kaedah seperti ini akan dapat membantu mempercepatkan pencapaian status Aswara menjadi sebuah institusi pengajian seni yang unggul di Malaysia, rantau ini dan peringkat antarabangsa,” katanya.
- Bernama

