Wanita cantik kirim bawang putih, kain kafan ke restoran Ashanti
Isteri Anang Hermansyah, Ashanty menemui barang aneh seperti bawang putih dibungkus dalam kain kapan di restoran yang diusahakannya.
Kejadian aneh itu menimbulkan perasaan geram terhadap Ashanty malah tidak menolak motif perbuatan itu dilakukan oleh individu yang merupakan pesaing perniagaannya.
Penyanyi, pelakon dan pengacara televisyen itu mendedahkan pengirim bawang putih dalam bungkusan kain kapan itu seorang wanita yang mempunyai rupa paras cantik.
Menurut Ashanty, 33, ini bukan kali pertama kejadian seumpamanya berlaku.
“Kejadian ini sudah dua kali berlaku. Kali pertama dihantar oleh seorang lelaki berbadan gempal dan matanya sepet. Dia meletakkan kemenyan dan pelbagai barang yang lain.
“Yang kedua, bawa sebiji bawang putih dibungkus dalam kain kapan itu perempuan cantik,” katanya dipetik Tabloid Bintang.
Menurut Ashanty, pengirim benda-benda aneh itu berani menunjukkan wajah mereka dalam rakaman kamera litar tertutup.
“Yang saya bingung mereka berani menampakkan diri. Anang meminta saya membuat laporan tetapi tidak perlulah. Mereka begitu berani dan langsung tidak menyembunyikan wajah,” katanya.

