Meskipun tindakannya mengenakan bayaran untuk setiap ucapan kepada peminat mengundang kecaman, Janna Nick tidak mengubah pendirian sebaliknya berazam mahu menjana pendapatan secara agresif melalui kaedah itu.

Pelakon dan pengacara itu - yang mengiklankan perkhidmatan berkenaan melalui Insta Story miliknya semalam - berkata dia berbuat demikian selepas mendapat galakan daripada pengikutnya di Instagram.

Katanya lagi, segelintir pengikutnya di platform media sosial itu tidak kisah apabila dia mengenakan bayaran sebanyak RM50.

“Ya, saya memang kenakan caj RM50 untuk setiap ucapan yang diminta peminat. Bukan itu saja, saya juga akan kenakan bayaran untuk beberapa perkhidmatan lain di medium sama,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Bagaimanapun, mengulas reaksi negatif terhadap tindakannya itu, Janna, 23, berkata dia sedikit pun tidak terkesan kerana memang begitu lumrah kehidupan dalam industri hiburan.

“Sebagai selebriti, apa saja yang kita lakukan akan dapat perhatian. Malah, tak buat apa-apa pun orang akan bercakap juga.

“Jadi, apabila ada yang menganggap apa yang saya buat ini adalah salah dan perlu dikecam, bagi saya ia berbaloi untuk dikecam.

“Alhamdulillah, perancangan saya untuk menarik perhatian netizen juga membuahkan hasil. Bagi yang memberi reaksi negatif, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Kata pemilik nama penuh Nurul Jannah Muner itu, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa berbuat demikian. Bagaimanapun dia menunggu untuk mendedahkan perkara itu pada 4 Oktober depan.

Dalam pada itu, Janna meminta agar netizen tidak terlalu cepat melatah dengan apa yang dikongsikannya.

“Dulu orang kata artis cepat melatah. Sekarang, apabila jadi benda macam ini, peminat pula yang melatah. Yang pasti, ini bukan gimik atau apa,” katanya.