Tiga hari selepas tsunami melanda barulah Datuk Bandar Palu, Pasha, muncul.

Ditanyai orang ramai mengenai kedudukannya Pasha memberitahu dia berada dalam keadaan baik, namun tidak dapat berkomunikasi sejak bencana itu melanda.

Hanya pada hari ini barulah penyanyi terbabit dapat berhubung melalui media sosial.

Penyanyi yang memiliki nama sebenar Sigit Purnomo Syamsuddin Said itu mengemas kini Instagramnya dengan memuat naik gambar dirinya bersama isteri Adelia Wilhelmina.

"Maaf, baru dapat memberikan khabar.

"Selama tiga hari kota Palu lumpuh baik dari aspek telekomunikasi, pengangkutan maupun penerangan," katanya.

Palu dan Donggola dilanda tsunami pada 28 Sept lalu kesan gempa bumi sekuat 7.5 magnitud yang berlaku di Sulawesi.

Ia terjadi kira-kira 77km dari bandar Palu.

Menurut Pasha, 39, tidak ada sesiapa yang menyangka bandar itu dilanda bencana alam sedemikian.

Jumlah kematian meningkat

Ketika itu katanya dia sedang sibuk membuat persediaan festival Pesona Palu kali ketiga yang akan memaparkan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan.

Namun ekoran bencana itu katanya semua persiapan musnah.

Keutamaan kerajaan tempatan juga kata Pasha ialah memberikan bantuan kepada semua mangsa gempa bumi dan tsunami.

"Pertama-tama kami atas nama keluarga dan jajaran pemerintah kota Palu mengucapkan rasa sedih yang mendalam dan turut berdukacita atas korban gempa yang terjadi di Palu, sama ada mereka penduduk tempatan atau pelancong luar.

"Secara pribadi kami tidak pernah menyangka ataupun membaca bahawa akan ada bencana dahsyat akan menimpa kota kebanggaan kami - Palu - di saat akan melaksanakan kegiatan besar Pesona Palu III.

"Semua terjadi begitu cepat dan kencang namun alhamdulillah dalam tangisan yang begitu dalam ini kami masih bersyukur kerana masih banyak warga yang dapat diselamatkan dan menyelamatkan diri khususnya pada saat berada di kawasan pesisir pantai," katanya.

Pasha juga tidak lupa meminta orang ramai berdoa agar semua urusan dipermudahkan dan dapat dilaksanakan segera sehingga bandar Palu pulih seperti asal.

"Semoga Allah SWT mengampuni dosa kita sekalian," katanya.

Palu dan Donggala dilanda tsunami setinggi kira-kira 1.5 meter pada jam 5.22 petang Jumaat lalu.

Setakat petang ini jumlah kematian akibat tsunami itu mencecah lebih 1,200 orang.