Afgan tersentuh tsunami di Palu, sertai konsert amal
Bencana alam yang melanda bandar Palu di Sulawesi Tengah, Indonesia hingga mengakibatkan kemusnahan dan meragut hampir 1,350 nyawa setakat hari ini terus mendapat perhatian ramai termasuk penyanyi Afgan.
Afgan yang juga merupakan penulis lirik berkongsi kesedihannya terhadap nasib mangsa gempa bumi dan tsunami yang terjadi pada 28 Oktober lalu.
Afgan berkata, peristiwa menyayat hati itu turut menimbulkan keinsafan buat dirinya.
"Saya bersedih dan dukacita dengan kejadian yang melanda Palu.
"Kadangkala Allah beri teguran dengan pelbagai cara salah satunya dengan memberikan dugaan besar," katanya dengan nada sebak.
Pemilik nama penuh Afgansyah Reza itu berada di ibu negara semalam sebagai memenuhi rangka promosi konsert Dekade Live in Kuala Lumpur yang dijangka berlangsung pada 3 November ini di Plenary Hall, KL Convention Centre.
Konsert berkenaan sebagai menandai 10 tahun pembabitan Afgan sebagai penghibur dalam arena muzik.
Menceritakan detik cemas yang dialami, kata Afgan, kekuatan gempa bumi dengan gegaran 7.5 magnitud di wilayah tengah Indonesia itu turut dirasai ketika dia berada di Pulau Bali.
Menurut Afgan, kejadian berlaku ketika dia sedang bercuti di pulau yang diberi julukan Pulau Dewata itu.
"Waktu kejadian berlaku pada 7 pagi dan saya masih tidur. Tetapi terjaga dari tidur kerana terasa gegaran.
“Rasanya itulah gegaran paling kuat saya pernah rasai seumur hidup. Bayangkan gegaran yang saya rasa itu di Bali, kalau di Lombok pasti lebih parah,” katanya.
Justeru, pada 5 Oktober ini, penyanyi Jodoh Pasti Bertemu itu bakal mengadakan konsert amal bagi meringankan beban ditanggung mangsa-mangsa bencana alam berkenaan.
“Kira-kira 100 artis lain termasuk saya bakal menghiburkan penonton di Jakarta bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada mangsa kejadian di Palu.
“Sebagai sesama manusia, sekurang-kurang ini usaha ini yang dapat saya lakukan.
Selain itu, Afgan berkata dia juga membantu menyediakan kemudahan air bersih untuk digunakan oleh mangsa di Palu.
“Saya membantu menyediakan tempat mandi dan kemudahan air kerana mereka kekurangan air bersih," katanya.

