Saleem diberi susu untuk kuatkan tulang
Penyanyi Saleem yang sebelum ini diletakkan dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur dilaporkan sudah sedar dan mampu bercakap.
Menurut isterinya, Juriah @ Julia Bachok, Saleem - yang ditimpa kemalangan pada 20 September lalu - sedar sejak dua hari lalu dan sudah dipindahkan ke wad biasa.
Bagaimanapun, katanya, Saleem tidak akan menjalani sebarang pembedahan bagi mengelak keadaan bertambah teruk.
“Mereka hanya akan beri dia minum susu untuk memulihkan tulangnya.
“Hanya bahagian kanan paru-paru ditebuk sebelum ini bagi mengeluarkan darah beku,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Penyanyi Selamat Tinggal Penderitaan itu ditimpa kemalangan jalan raya kira-kira jam 3.20 petang semasa menaiki motosikal ketika keluar ingin membeli barang.
Vokalis kumpulan Iklim itu dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang, mengakibatkan sembilan tulang rusuk patah denga satu daripadanya mencederakan paru-parunya.
Dalam pada itu, menurut Julia, doktor juga masih belum memutuskan tarikh sesuai untuk membenarkan Saleem pulang.
“Banyak proses perlu dilalui, tidak tahu lagi bila boleh keluar. Dia perlu diajar bagaimana cara untuk bangun duduk dan sebagainya.
“Sebelum ini dia hanya baring dan situasi itu amat merisaukan saya,” katanya.

