Hati-hati jika mencari Ruby Rose, aktres jelita di Internet
Pengguna alam maya dinasihatkan untuk berhati-hati sebelum membuat pencarian nama aktres jelita, Ruby Rose di Google.
Syarikat keselamatan Internet McAfee mengisytiharkan Ruby sebagai selebriti “paling berbahaya” untuk tahun ini.
Kenyataan itu bermaksud, pencarian ke atas nama Ruby mengakibatkan individu yang menggunakan enjin carian berpotensi dipautkan ke laman sesawang berbahaya.
Ruby ialah selebriti kelahiran Australia yang terlibat dalam dunia lakonan, nyanyian dan peragaan.
Aktres Orange Is The New Black itu menggantikan penyanyi Avril Lavigne yang sebelum ini berada pada kedudukan teratas selebriti paling berbahaya.
Berada di tempat kedua sebagai selebriti "paling berbahaya" menurut senarai McAfee ialah personaliti program realiti TV dan pelakon Kristin Cavallari, diikuti oleh Marion Cotillard.
Berikut ialah senarai 10 selebriti 'berbahaya' mengikut kajian McAfee:
- Ruby Rose
- Kristin Cavallari
- Marion Cotillard
- Lynda Carter
- Rose Byrne
- Debra Messing
- Kourtney Kardashian
- Amber Heard
- Kelly Ripa
- Brad William Henke
Tidak ketinggalan dianggap sebagai berbahaya untuk pengguna Internet ialah seorang lagi anggota keluarga Kardashian, iaitu Kim, yang berada pada kedudukan ke-19.
Ketua keselamatan pengguna McAfee, Gary Davis, berkata penggodam selalu menggunakan sifat ingin tahu individu yang membuat carian ke atas selebriti dan mengambil kesempatan itu untuk memautkan mereka ke laman sesawang berbahaya.
“Amat penting untuk pengguna berfikir sebelum mereka mengklik apa-apa pautan bagi memastikan mereka melayari kandungan digital yang selamat.
“Ini juga dapat melindungi mereka daripada ancaman siber yang digunakan untuk menjejaskan peralatan atau mencuri identiti mereka,” katanya.
Selain amaran berhati-hati sebelum mengklik mana-mana pautan, McAfee juga menasihatkan pengguna Internet agar memastikan peranti dan perisian mereka sentiasa dikemas kini serta menggunakan perisian kawalan ibu bapa untuk melindungi anak masing-masing.

