Atas sifat kasih sayang sesama insan, PU Amin tampil menyatakan hasratnya untuk menaja golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk menunaikan ibadah umrah.

Personaliti TV yang muncul melalui program realiti Pencetus Ummah (PU) itu berkata pada peringkat permulaan program itu akan membawa 20 peserta.

“Alhamdulillah bukan sekadar rancang tapi bajet, hotel, penerbangan semua dah diuruskan.

“Tinggal nak cari orang sahaja. Jangan malu malu, pada lesbian, gay, pondan, mak nyah, pengkid, berhubung terus (DM) sahaja saya,” katanya di Instagram.

Tajaan itu dengan kerjasama syarikat Simply Umrah di mana Amin adalah dutanya.

Amin akan bertindak sebagai mutawif (pemandu Umrah) manakala Simply Umrah akan menaja ihram, kit umrah, hotel 5 bintang, hotel Al Safwah Royal Orchid di Mekah dan San Elaf Tayyibah di Madinah.

Namun Amin yang dikenali lantang mengkritik golongan itu meletakkan syarat bagi mereka yang ingin merebut peluang keemasan itu.

“Syaratnya anda wajib ikuti kelas bimbingan al Quran, akidah dan fardhu ain dari saya. Kelas agama, kursus dan pakej Umrah percuma.

“Saya buat 20 orang dulu. Esok kalau saya jutawan banyak duit saya buat satu kampung pula,” katanya lagi.

Tawaran itu dua hari selepas Amin dihujani kritikan di Twitter selepas mendakwa ulama di Indonesia menyatakan tsunami yang menimpa Lombok dan Palu adalah bala Tuhan akibat maksiat yang berleluasa.

Malah ada pengguna Twitter yang menanda (tag) menteri agama Indonesia dan Majlis Agama Indonesia pada ciapannya itu.

Untuk rekod, setakat pukul satu tengah hari ini, tsunami di Palu telah meragut 1,407 nyawa.

Amin berkata lagi, golongan itu yang berminat untuk menyertainya hanya perlu membawa "hati dan jiwa" untuk bertemu Tuhan.

"DM ya. Kita akan adakan pertemuan tertutup. Kita saksikan bersama Kaabah. Saya tegur dan nasihat sebab saya sayang. Ini pelaburan akhirat saya," katanya.