Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fazley, isteri titip doa sejahtera buat Rosmah
Diterbitkan:  Oct 3, 2018 8:52 PM
Dikemaskini: Oct 4, 2018 6:31 AM

Sekalipun pernah berdepan kemelut dengan Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Fazley Yaacob tetap memanjatkan doa agar segala urusan ibu mentuanya itu dipermudahkan.

Penyanyi dan cef selebriti itu berkata, di sebalik peristiwa hitam yang dialami bersama isterinya Azrene Soraya Abdul Aziz, mereka tetap mempunyai perasaan simpati terhadap Rosmah.

“Beliau telah ditahan. Sebagai anak dan menantu kami tetap mendoakan beliau. Simpati masih tetap wujud walau apa pun berlaku.

“Moga Allah mempermudahkan segala urusan,” katanya di Instagram.

Fazley, 40, ialah selebriti kelahiran Seremban, Negeri Sembilan yang mula dikenali sebagai penyanyi pada 1995.

Dia sempat menghasilkan lima album dengan yang terakhir diterbitkan pada 2005.

Kerjayanya kemudian berkembang menjadi pelakon dan penceramah motivasi sebelum melebarkan jejaknya menjadi cef.

Antara pencapaian terbesar Fazley ialah menjadi juara Masterchef Selebriti Malaysia 2012.

Biar mahkamah adili

Bapa kepada Fazley ialah Allahyarham Datuk Yaakob Mohammad yang pernah diberi kepercayaan menjadi setiausaha kerja Umno.

Fazley mendirikan rumah tangga dengan Azrene pada 2006 namun perkahwinan itu didakwa tidak mendapat restu daripada Rosmah.

Azrene ialah anak Rosmah hasil perkahwinan pertamanya dengan Abdul Aziz Nong Chik.

Selain Azrene, Rosmah dan Abdul Aziz dikurniakan seorang lagi anak iaitu Riza Aziz - yang disaman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat atas dakwaan menggunakan wang yang dicuri daripada firma pelaburan negara, 1MDB.

Azrene pernah mengeluarkan kenyataan bahawa abangnya itu menjual diri kepada syaitan.

Kata Fazley pendirian dan simpati yang dizahirkannya hari ini adalah pendirian yang tidak akan sesekali berubah.

“Ini kekal pendirian kami berdua,” katanya.

Rosmah diberkas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 3.20 petang hari ini ketika memberi keterangan kepada penyiasat agensi antirasuah berkenaan.

Isteri Datuk Seri Najib Razak itu ditahan selepas hampir lima jam berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Laporan media menyebut, Rosmah berkemungkinan dihadapkan sehingga 20 pertuduhan jenayah.

Pada 26 September lalu, Rosmah disoal siasat SPRM selama 13 jam berhubung dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib dan lebih 20 pertuduhan membabitkan penggubahan wang haram.

Kata Fazley biarlah mahkamah yang memutuskan siapa yang berada di pihak benar mahupun di sebaliknya.

“Yang salah tetap salah yang benar tetap benar. Biarlah mahkamah memutuskan,” katanya.

 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Ini kekal pendirian kami berdua @azrene_ahmad , this remains our stand...

A post shared by Dato' Fazley Yaakob (@fazleyyaakob) on

 

Lihat Komen
ADS