Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Menunggang atau ditunggangi fesyen, siapakah kita?

Fesyen dan pemakaian memberi sebuah makna dan terjemahan tentang identiti individu.

Ia menterjemahkan sebuah budaya, kepercayaan dan siapa kita “under own skin”.

Claudia Schiffer, seorang model terkemuka, apabila ditanya tentang peranan seorang ikon fesyen, menyebut: “An icon is a constant beacon in the ever changing face of fashion.

Beliau berpendapat ikon fesyen adalah alat penarik dalam fesyen yang sentiasa berubah.

Oleh itu, fesyen seharusnya mencerminkan identiti, budaya, dan ketamadunan individu, sebuah representasi yang seharusnya tepat.

Bagaimana pula jika fesyen yang dibawa membawa kekeliruan dan salah faham yang besar kepada masyarakat?

Dua bulan lepas, kita dikhabarkan dengan berita mengenai selebriti Malaysia, Neelofa dilaporkan akan membawa nama Malaysia di pentas dunia apabila dilamar bekerjasama dengan Louis Vuitton (LV) untuk kempen busana dan aksesori wanita.

Terpampang di dada akhbar, Berita Harian pada Ogos lalu memetik kenyataan Neelofa, "Saya mengharapkan kerjasama saya dengan LV memberi nafas dalam fesyen berhijab."

Beliau juga menyatakan bahawa beliau mahu membuktikan wanita berhijab tidak ketinggalan dalam dunia fesyen.

Pada bulan lepas, beliau dijemput untuk minggu fesyen di Perancis dan tampil menggayakan busana muslimah moden berturban membawa identiti Islam 'urban' dalam menghadiri minggu fesyen tersebut.

Dalam minggu ini pula, usahawan fesyen yang dikenali ramai, Vivy Yusof mengikut jejak langkah yang sama apabila mengumumkan bahawa beliau akan bekerjasama dengan syarikat Mattel yang mengeluarkan anak patung Barbie yang terkemuka.

Ekoran kerjasama tersebut, tudung jenama Duck keluaran Vivy akan menghiasi patung Barbie.

Dalam akaun Instagramnya, beliau menulis: "Thank you Barbie and The Mattel Group for recognising us, but more importantly recognising what a big win this is to the modest industry and of course for Islam."

 

Dunia fesyen Malaysia yang semakin berkembang mendapat sambutan hingga ke pentas dunia menjadi pemerhatian penulis sejak beberapa tahun lepas.

Walaupun kita ingin berbangga dengan pereka tempatan, namun sesuatu yang agak membimbangkan adalah apabila fesyen yang dibawa tidak melambangkan pakaian Islam yang sebenar.

Tudung berjenis turban yang menampakkan leher sesekali, selendang dan tudung yang singkat, seluar yang senteng menampakkan betis, dan pakaian yang melekap di badan antara busana yang sering digayakan ikon-ikon fesyen ini.

Tambahan kini, tudung yang tidak melambangkan tuntutan sebenar syariat Islam dijadikan pakaian Barbie tetap dikatakan “a big win to the modest industry and Islam”.

Usahawan selebriti lain yang membawa elemen yang sama, yang tidak mengikut syariat semakin berkembang juga di negara ini, mungkin selepas ini ke pentas dunia juga.

Harus ditekankan bahawa sesebuah fesyen yang mengaitkan atau menyebut Islam sebagai identitinya perlulah benar-benar menggambarkan busana Islam yang sebenar.

Saya melihat kesuburan industri fesyen Muslimah yang dibawa ke peringkat antarabangsa ini memberi satu impak yang besar kepada kefahaman Islam dan imej Islam di dunia.

Seorang ikon fesyen dan pereka fesyen Muslim seharusnya faham apakah pemakaian Islam yang betul, yang dibolehkan dan dilarang.

Busana Muslimah haruslah longgar, tidak melekap pada badan seterusnya menampakkan bentuk badan, dan tudung yang menutupi dada seperti yang digariskan syariat yang disebut dalam al-Quran, firman Allah SWT tentang aurat, iaitu surah An-Nur ayat 31.

Ayat ini merupakan salah satu ayat tentang aurat wanita dan menjelaskan cara bertudung yang benar.

Apabila ikon fesyen yang membawa nama ke peringkat antarabangsa sendiri tidak faham fesyen Muslimah sebenar berdasarkan syariat, maka kesan persembahan pakaian yang salah dan sekadar untuk berfesyen sahaja akan menjadi berleluasa dan membuatkan salah faham yang menular.

Ia bahkan menjadi ikutan ramai.

Teguran seperti ini adalah perlu agar ikon fesyen lebih berhati-hati dalam menggelarkan busana yang dibawa adalah busana Muslimah.

Pereka dan ikon fesyen harus sedar bahawa mereka bertanggungjawab atas nama Islam yang dibawa apabila mempamerkan busana kepada yang melihat.

Malahan, menganggap mereka membawa busana Muslimah untuk memperkenalkan Islam adalah bercanggah dengan hakikat sebenar.

Jika ingin berpakaian sebegitu dan meluaskan perniagaan fesyen dalam lingkungan pemakaian yang dianggap moden, jangan dikaitkan fesyen tersebut dengan Islam bagi mengelakkan salah faham kepada yang melihat, lebih-lebih lagi apabila ia sudah masuk ke pasaran antarabangsa.

Ini kerana pakaian sedemikian bukanlah pakaian sebenar wanita Islam. Islam itu haruslah diambil secara menyeluruh dan bukan sebahagian-sebahagian sahaja, seperti digariskan dalam Surah Al-Baqarah ayat 208.

Bagaimana sekalipun kita menelusuri arus zaman yang sentiasa berubah, pemakaian dan fesyen yang terkini, satu perkara tidak seharusnya berubah, iaitu kepercayaan dan apa yang digariskan syariat.

Ia kekal, sepanjang zaman menjadi pegangan manusia, menjadi sesuatu yang memandu manusia dan menjaga kemaslahatan umat.

Agama itu satu cara hidup, tidak boleh diasingkan hanya untuk ritual ibadah sahaja. Kepercayaan seharusnya diterjemahkan dalam pemakaian juga.


SABRINA ZAIFULIZAN aktivis National Young Women of Change (NOW).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS