Anak Bob Lokman sempat bertanya persiapan berniaga
Bertanya tentang persiapan berniaga keesokan hari, dan kemudian rebah sebelum menghembus nafas terakhir.
Itu yang dialami anak penulis lirik terkenal Bob Lokman, Mohamad Adam, di rumah mereka di Sungai Buloh awal pagi tadi.
Menceritakan apa yang berlaku malam tadi Bob berkata anaknya itu bertanya untuk mendapatkan kepastian berapa ekor ayam yang perlu disediakan bagi perniagaan mereka hari ini.
Kata Bob, anaknya itu bertanya kira-kira jam 11 malam.
"Itu kali terakhir saya bercakap dengan Adam sebelum dia pengsan dan nazak kira-kira jam 1 pagi,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Bob diingati sebagai salah seorang penulis lirik yang berpengaruh kerana menghasilkan pelbagai lagu popular. Antara yang dianggap terbaik ialah Pada Syurga Di Wajahmu nyanyian Nash, dan Isabella (Amy Search).
Dia juga terlibat dalam bidang lakonan dan menjadi juri program realiti sebelum bertukar arah menjalani hidup lebih sederhana.
Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 54, menyertai bidang perniagaan makanan selain sesekali dijemput menjadi penceramah PAS.
Akhir Sept lalu dia memulakan perniagaan menjual nasi ayam kampung di pekarangan Masjid Al-I’tisam di Taman TTDI Jaya di Shah Alam, Selangor.
Kata Bob anaknya itu memang pernah mengalami ketumbuhan dalam otak semasa berusia 8 tahun namun dapat dibuang melalui pembedahan.
“Walaupun Adam menjalani rawatan kemoterapi, doktor maklumkan ketumbuhan ini boleh datang lagi. Disebabkan itu, Adam selalu pengsan," katanya.
Menurut Bob lagi sebelum ini Mohamad Adam pernah pengsan tiba-tiba dan tidak ingat bagaimana ia berlaku apabila sedar semula.
“Dia seorang anak yang baik. Dia tulang belakang keluarga dengan membantu menguruskan perniagaan. Dia juga yang banyak bantu dan jaga saya ketika masuk hospital,” katanya.
Jenazah Mohamad Adam dijangka dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini di Tanah Perkuburan Islam Batu 20, Kuang.

