Biarpun baru melancarkan single pertamanya Sembuhkan Rindu, bakat baru Sekar Qaanita tetap sempat memikirkan nyawa insan lain berbanding keuntungan diri sendiri daripada lagu itu.
Menyedari ada insan lain lebih memerlukan, Sekar berkata sebahagian hasil diperoleh daripada penjualan fizikal single berkenaan akan didermakan buat Yayasan Kanser Indonesia (YKI).
Kata Sekar, ilham berkenaan muncul selepas dia terkesan melihat ramai kanak-kanak di Indonesia menderita penyakit berbahaya itu.
“Semasa melayari Instagram saya dapati begitu ramai kanak-kanak sakit disebabkan kanser.
“Justeru, saya tergerak hati untuk membantu mereka agar cepat sembuh atau buat apa yang termampu.
“Tolak kos modal saja selebihnya didermakan kepada YKI,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sembuhkan Rindu turut dinyanyikan secara duet dengan vokalis kumpulan Supernova, Angga.
Lagu itu dilancarkan di ibu negara pada 24 September 2018 manakala di Indonesia 14 Ogos juga tahun ini.

Berkongsi lanjut, kata Sekar, 17, YKI juga merupakan rumah singgah yang menempatkan pesakit kanser yang menetap di luar Jakarta.
“Dengan adanya YKI pesakit dari luar yang tidak berkemampuan tidak perlu menginap di hotel sementara mereka menunggu tarikh menjalani rawatan atau pembedahan,” katanya.
Sementara itu, mengenai Sembuhkan Rindu, Sekar berkata lirik lagu itu berkisahkan perasaan rindu dialami seseorang secara universal.
“Ia bukan rindu semata-mata kepada kekasih tetapi kepada Tuhan, keluarga dan rakan-rakan,” katanya yang berharap muzik dipersembahkannya itu dapat membeli jiwa peminat di negara ini.
Angga yang turut mengulas kolaborasinya dengan Sekar berkata, penyanyi muda itu mempunyai kualiti vokal unik selain mendendangkan lagu-lagu melalui ‘jiwa.’
“Sebaik dia membuka mulutnya kita akan tahu penyanyi itu adalah Sekar.
“Karakter unik ada pada suaranya itu tidak dimiliki oleh orang lain,” katanya yang turut bertindak sebagai penerbit lagu berkenaan.
