Anak bekas peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017, Chot meninggal dunia pada jam 8.40 pagi tadi selepas bertarung melawan penyakit injap jantung terbalik sejak dilahirkan.
Chot memuat naik berita pilu mengenai pemergian anak sulungnya, Muhammad Sher Harraz Azmeer di Instagram.
“Dukacita dimaklumkan anakanda kami Muhd Sher Harraz meninggal dunia pada jam 8.40 pagi,” katanya.
Chot atau nama sebenarnya Hazmeer Hassan berkata, jenazah Harraz akan dikebumikan di tanah perkuburan Felcra Ramuan Cina, Lubok Cina, Melaka sebelum atau selepas solat Asar.
“Sama-sama sedekahkan al-Fatihah buat Harraz. Nyata Allah lebih sayang kepadanya,” katanya lagi.
Chot yang menjadi anggota kumpulan XOXO dalam MLM 2017 itu sering berkongsi mengenai perkembangan Harraz di platform media sosial miliknya.
Penyampai radio sambilan di Melaka FM itu juga pernah mendedahkan Harraz perlu menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara dengan kos yang menelan perbelanjaan sebanyak RM18,000.
