Meski dengan pelbagai pencapaian dalam industri seni, Faizal Hussein belum puas dan kini sedia menyahut cabaran sebagai pengarah aksi sekiranya diberi peluang.

Bagi aktor itu Bunohan itu, bergelar seorang pengarah aksi adalah suatu pencapaian yang dianggap paling tinggi buat seorang penggiat hiburan tanah air sepertinya.

“Itulah pencapaian yang paling maksimum malah ia juga apa yang saya idam-idamkan selama ini,” katanya ketika ditemui pada majlis tontonan filem Kalla: Hidup atau Mati di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam Kalla: Hidup atau Mati, Faizal, 51, membawa watak sebagai Dr Ezahar yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa isterinya Sherina (Vanidah Imran) terbunuh dalam satu serangan letupan oleh pengebom berani mati.

Dalam usahanya untuk mencari pembunuh Sherina, Ezahar pada masa sama turut menjadi buruan kumpulan Saif yang telah berpecah daripada kumpulan asal, Kalla.

Kalla terdiri daripada sekumpulan lelaki dan wanita yang bersumpah untuk melindungi khazanah Islam daripada empayar Melaka pada abad ke-15.

Filem yang dijangka menjengah pawagam 11 Oktober itu turut dijayakan pelakon seperti Azhan Rani, Farali Khan, Zaidi Omar dan Riz Amin.

Berkongsi lanjut, kata pelakon yang turut popular melalui filem Gila-gila Remaja itu, idea untuk bergelar seorang pengarah aksi muncul selepas dia membabitkan diri dalam filem-filem bercorak aksi.

“Ada pengarah yang mendapatkan idea dan pandangan daripada saya semasa penggambaran dijalankan. Saya juga sering membantu memberikan idea tambahan.

“Misalnya dalam Kalla: Hidup atau Mati, saya cadangkan aksi campak Dr Ezahar ke dinding. Apa saya boleh buat, saya usulkan,” katanya.

Bagaimanapun, untuk rekod, Faizal pernah ditawarkan jawatan sebagai pengarah sebanyak dua kali, namun ia ditolak atas sebab-sebab tertentu.

Kata Faizal, satu kelemahan yang sering dilihat dalam produksi tempatan ialah tidak menyediakan pengarah yang bersesuaian bagi menggalas tugas seorang pengarah aksi.

“Apabila pengarah biasa cuba hasilkan filem aksi pasti timbul kesukaran. Kadang-kadang mereka berharap pada koordinator pelagak ngeri untuk memberi cadangan syot.

“Koordinator pelagak ngeri tiada pengalaman untuk menentukan angle atau lakon layar.

“Itu yang kadang-kadang ada pelagak ngeri mati sebab keputusan dikeluarkan datang daripada orang yang tak boleh bagi arahan,” katanya.