Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Kumpulan Kristal yang mengumumkan vokalis baru bagi menggantikan Lan Solo hari ini meminta peminat terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjalanan karier mereka.

Wakil kumpulan Kristal, Rodi, 32, berkata, dengan pemilihan bekas penyanyi kumpulan HyperAct, Kecik selaku vokalis baru diharap dapat memperkukuhkan perjuangan mereka untuk genre muzik Melayu Pop Rock.

“Saya berharap peminat semua dapat menerima perkembangan Kristal yang baru dan move on daripada apa yang pernah terjadi sebelum ini.

“Dia (Lan Solo) dengan rezeki dia dan kami dengan rezeki kami.

“Kami ingin jadikan Kristal sebuah kumpulan yang terbaik dan mampu membawakan muzik-muzik bertaraf antarabangsa,” katanya.

Rodi atau nama penuhnya Muhamad Rodi Baharuddin ditemui pada sidang media memperkenalkan vokalis dan single terbaru Kristal di G Tower, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir, dua lagi anggota Kristal, Muhamad Asyraff Baharuddin atau Acap (dram) dan Muhammad Afifi Nor Mohammed atau Kechik Afifi (basis).

Sertai Gegar Vaganza 4

Terdahulu, Lan Solo - yang pernah menganggotai Kristal selama 18 tahun - memutuskan untuk meninggalkan kumpulan berkenaan selepas berlaku kemelut dengan anggota band itu.

Ia dikatakan berpunca daripada dia menyertai Gegar Vaganza 4, November tahun lalu.

Kecik, 24, yang secara rasmi menganggotai Kristal dua bulan lalu “terpilih” selepas menjalani sesi jamming yang diadakan secara langsung di media sosial.

“Sebenarnya tidak berniat pun nak cari penyanyi ketika itu, tetapi kami mengadakan jamming agar peminat tahu Kristal sebenarnya tidak pernah menghilang dari radar dunia hiburan.

“Kami saja-saja panggil beberapa rakan seperti pelawak Achey, Ewal bekas peserta AF 2014, Iqram dan Erman Rockanova dan Kecik untuk sesi itu malah ia mendapat respon yang positif,” katanya.

Dari segi nyanyian kata Rodi, Kecik atau nama asalnya Mohammad Fauzi Kamarudin memiliki kredibiliti vokal yang unik dan diyakini mampu membawakan lagu-lagu Kristal dengan baik.

“Saya lihat Kecik masih muda, ada tenaga yang lain di situ, diharapkan dia boleh menyanyi dengan lebih hebat apabila bersama Kristal,” katanya.

Pada majlis yang sama, Kristal turut melancarkan single terbaru mereka berjudul, Cintaku Kristal.

Lihat Komen
ADS