Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Tokoh berpengalaman ahli lembaga pengarah baru Finas

Lembaga pengarah baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan dianggotai tokoh berpengalaman daripada semua bahagian dalam industri filem, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Gobind berkata barisan baru itu akan turut menampilkan kalangan daripada bidang kewangan dan pengurusan yang memahami masalah semasa serta cabaran mendatang.

“Banyak yang perlu dilakukan. Harap-harap dapat umumkan barisan baru dalam beberapa hari lagi,” kata beliau menerusi akaun Twitter hari ini.

Gobind sebelum ini dilaporkan berkata Finas memerlukan penstrukturan semula secara besar-besaran bagi memastikan kelancaran pengurusan dananya dan perubahan dalaman penting bagi tujuan itu.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada tweet oleh seorang pengguna dikenali sebagai ‘@iestatiptra’ yang meminta menteri berkenaan “mendapatkan orang yang baik dengan idea yang bagus dan tiada motif peribadi.”

Sementara itu, Gobind berkata kementeriannya perlu memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan Finas supaya setiap orang mendapat peluang untuk berjaya.

Beliau percaya Malaysia mempunyai bakat dalam industri filem dan yakin mereka boleh bersaing di pentas global dalam industri ini.

“Dengan mewujudkan pasukan yang betul, kita boleh mencapai matlamat ini,” respons beliau kepada tweet oleh ‘@tunkumona’.

“Anda memerlukan mereka yang mencintai filem, berfikiran global, berwawasan dan paling penting, tiada agenda tersembunyi untuk menganggotai lembaga pengarah Finas,” menurut mesej tweet pengguna itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS