Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bintang filem India doakan kejayaan Anwar di PD
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 4:20 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Pelakon filem India yang menjadi ahli politik terkenal, Kamal Hassan, mendoakan kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson esok.

Menerusi video yang dimuat naik di Youtube semalam, Kamal yang bercakap dalam bahasa Inggeris dan Tamil menyifatkan Anwar sebagai pemimpin contoh dan 'pembawa harapan'.

Video selama 46 saat itu menyaksikan Kamal memulakan ucapannya dengan berkata: "Saya sangat gembira mengetahui bahawa kawan saya Anwar Ibrahim telah dibebaskan dari penjara yang tidak adil, dan telah mendapat pengampunan diraja.

"Dalam iklim politik global yang memerlukan pemimpin teladan [...], Anwar adalah contoh yang tepat dan pembawa harapan," katanya.

Kamal berkata kawasan Port Dickson mempunyai peluang untuk melakar sejarah Malaysia apabila Anwar kembali ke parlimen.

Pelakon itu juga berkata langkah Anwar menduduki jawatan tertinggi negara sebagai perdana menteri bakal mengukuhkan hubungan dua hala.

"Pada kesempatan ini, saya gembira untuk mendoakan Anwar, dan rakyat Malaysia yang terbaik, ketika mereka memulakan perjalanan ini. Parti saya, Makkal Neethi Maiyam juga mengharapkan yang terbaik dalam dalam perjalanan politik mereka," katanya.

Kamal, 63, adalah pelakon veteran dalam industri perfileman Tamil - setelah memulakan kerjayanya sebagai seorang pelakon kanak- kanak pada tahun 1960-an.

Selain berlakon beliau juga merupakan seorang pengarah, penerbit, penyanyi dan penulis lirik.

Kamal juga merupakan nama kedua terbesar dalam industri perfileman Tamil, selepas bintang filem terkenal Rajnikanth.

Pada Februari tahun ini, beliau menubuhkan parti politik dan berikrar ia akan menjadi langkah pertama ke arah "pemerintahan rakyat."

Ini bukan kali pertama pelakon filem Tamil dilihat menyokong ahli politik Malaysia.

Pada Mac 2017, Rajnikanth menerima kedatangan Datuk Seri Najib Razak di kediamannya di Chennai, semasa lawatan bekas perdana menteri Malaysia itu ke India.

Najib juga telah memuat naik gambar bersama Rajnikanth di akaun Twitternya.

Tidak lama kemudian Najib menyambut kedatangan Rajnikanth di kediaman rasminya di Putrajaya, ketika pelakon itu berada di Malaysia untuk membuat persembahan.

Lihat Komen
ADS