Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan

Syarikat Skop Productions Sdn Bhd meluahkan kegembiraan apabila filem Munafik 2 terbitan mereka berjaya meraih kutipan mencecah RM4 juta di Indonesia.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata jumlah yang dicapai setakat ini menandakan satu perkembangan baik untuk filem tempatan di negara itu.

"Sukar nak tembusi pasaran Indonesia sebenarnya kerana filem dari negara kita merupakan pesaing buat karya-karya mereka," katanya.

Yusof, 64, ditemui pada sidang media mengenai filem berkenaan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), di Hulu Klang, hari ini.

Kata Yusof yang juga pengarah popular itu, jumlah kutipan Munafik 2 secara keseluruhannya mencecah RM43 juta.

Yusof juga menyatakan beliau tidak pernah menyangka filem diarahkan anaknya Syamsul itu akan mendapat sambutan positif di negara jiran itu.

"Ia bernasib baik, itu pun ditayangkan hanya pada 116 jumlah panggung.

"Malah karya itu ditayang di pawagam-pawagam bukan utama," katanya.

Untuk rekod, jumlah RM43 juta itu termasuk kutipan di Brunei, hampir sejuta dan Singapura RM4 juta.

Munafik 2 ditayangkan di Indonesia pada 26 September lalu manakala masih "menghantui" pawagam Malaysia sejak 30 Ogos lalu.

Ia berkisahkan watak Sakinah dilakonkan Maya Karin meminta bantuan daripada Ustaz Adam (Syamsul) untuk mengubati bapanya yang disihir Abu Ja (Nasir Bilal Khan).

Lihat Komen
ADS